Menjelang sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 22 Jun ini, penyokong Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin dijangka berhimpun dalam satu “persidangan” bagi menentukan hala tuju politik barunya.
Menurut beberapa sumber yang mengetahui perkara itu, lebih 1,000 peserta yang mewakili “153 bahagian” dijangka menghadiri persidangan “Reset” yang akan diadakan di Tanah Merah, Kelantan pada 13 Jun.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, menganggarkan jumlah kehadiran lebih tinggi, iaitu sekitar 10,000 orang.
"Di konvensyen ini kita akan umumkan bahawa Reset adalah satu gerakan rakyat berbilang bangsa yang berkongsi matlamat yang sama, iaitu mahukan negara kita ini berkongsi kemakmuran secara adil dan membentuk tadbir urus yang berperikemanusiaan di Malaysia.
"Saya juga jangka dalam ucapan kemuncak Datuk Seri Hamzah Zainuddin nanti, beliau akan mengumumkan halatuju politik, terutama berkaitan dengan penyertaan Gerakan Reset ke dalam parti politik,” kata bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, turut memberi bayangan bahawa pengumuman mengenai sebuah parti politik baru untuk menghadapi pilihan raya akan dilakukan semasa atau tidak lama selepas persidangan tersebut.
“Kami semua menyokong Hamzah. Keahlian dalam parti baru itu hanya akan diumumkan selepas pengumuman rasmi mengenai penubuhan parti berkenaan,” katanya kepada Malaysiakini.
Hamzah melancarkan gerakan “Reset” pada 14 Feb lalu bersama beberapa ahli parlimen dan penyokong akar umbi, sehari selepas dia dipecat dan keahliannya digugurkan daripada Bersatu.
Dia juga menyatakan kesediaannya untuk memimpin gerakan itu berasaskan satu konsensus nasional baru.
Menjelang sidang Dewan Rakyat akan datang, Bersatu kini hanya mempunyai enam ahli parlimen iaitu presidennya, Muhyiddin Yassin (Pagoh), selain Radzi Jidin (Putrajaya), Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok), Azman Nasrudin (Padang Serai) dan Ali Biju (Saratok).

Sementara itu, baki 19 ahli parlimen yang dipilih atas tiket Bersatu di bawah tiket Perikatan Nasional, termasuk Hamzah, Wan Saiful dan Saifuddin, sama ada telah digantung atau dipecat daripada parti.
Tanpa parti baru, Hamzah yang juga bekas Ketua Pembangkang dan kini duduk bersebelahan Muhyiddin di Dewan Rakyat, akan kembali bersidang sebagai Ahli Parlimen Bebas bersama ahli-ahli parlimen lain yang dipecat.
Pada 6 Jun lalu, Hamzah dilaporkan menafikan laporan bahawa dia bakal mengambil alih Parti Cinta Malaysia, sambil menyifatkannya sebagai spekulasi semata-mata.
Menurut laporan Berita Harian, Hamzah berkata: “Itu hanya dakwaan mereka,” sebelum enggan mengulas lanjut.
Kenyataan itu dipercayai dibuat sebagai reaksi terhadap laporan akhbar Sin Chew Daily yang memetik sumber parti mengenai rundingan dengan kepimpinan PCM berhubung kemungkinan pengambilalihan parti tersebut dan rancangan meletakkan bekas pemimpin Bersatu sebagai calon pada pilihan raya akan datang.
Seorang veteran PCM dilaporkan berkata perbincangan masih di peringkat awal, dengan PCM terbuka untuk berunding, manakala Hamzah pada masa sama sedang meneliti beberapa pilihan lain.
Rundingan yang didakwa berlaku itu turut dikaitkan dengan laporan awal media mengenai percubaan untuk mendaftarkan sebuah entiti politik baru dikenali sebagai Parti Keluarga Malaysia, namun dikatakan gagal.
Di media sosial, poster yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) mengenai sebuah “parti baru” yang dikatakan dipimpin Hamzah turut mencetuskan spekulasi mengenai pengumuman yang bakal dibuat.
Namun, Zulkifli Bujang, bekas pembantu Hamzah yang kini mengetuai Reset Johor, menafikan kesahihan poster tersebut dan menyifatkannya sebagai “operasi hitam” oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Poster itu palsu, tidak benar,” katanya yang juga bekas ketua bahagian Bersatu Johor Bahru.
Poster berkenaan menamakan Hamzah sebagai presiden bagi “Parti Gagasan Sejahtera Demokratik”, manakala Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee, dinamakan sebagai timbalannya.
Selain logo parti yang dipersoalkan bentuknya, pemerhati turut mendapati imej Hamzah dalam poster itu lebih menyerupai seorang tokoh yang lain, manakala imej Kiandee dianggap paling tepat.
Ketika dihubungi, Kiandee turut menafikan poster tersebut yang menurutnya telah menjadi bualan dalam kalangan penduduk di kawasan Beluran.
"(Saya) Botak. AI senang copy," katanya sambil ketawa.
Menjelang penamaan calon bagi pilihan raya negeri di Johor dan Negeri Sembilan, Hamzah pada 6 Jun lalu dilaporkan mendakwa dia menjalin kerjasama rapat dengan PAS, walaupun setakat ini PN yang dipimpin Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, masih menolak permohonan kemasukan komponen baru selain parti-parti sedia ada dalam gabungan itu.
