Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS, Bersatu dah tak boleh terus di bawah payung sama'
Diterbitkan:  Jun 9, 2026 9:09 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

PAS pagi ini menghantar isyarat bahawa parti itu tidak akan berpaling lagi daripada keputusan mereka ‘meninggalkan’ Bersatu selepas kedua-dua pihak berseteru secara terbuka.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata ketika ini moral jentera parti itu sedang terkesan ekoran dua kes melibatkan langkah mereka iaitu di Perlis dan Negeri Sembilan.

Katanya, PAS tidak mengambil sebarang keputusan berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, pertimbangan dibuat berdasarkan penilaian kemampuan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu “penyatuan ummah” serta “kestabilan politik negara”.

“Kedudukan PAS dan Bersatu dalam PN akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan dan saluran yang sewajarnya.

“Sudah tentu PAS dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam,” katanya.

Semalam Jawatankuasa PAS Pusat – yang bermesyuarat dengan mandat majlis syura ulama mereka – membuat keputusan untuk menghentikan kerjasama dengan Bersatu di sebalik kedudukan mereka sebagai komponen PN.

Ia adalah kemuncak kepada ketegangan hubungan mereka dalam beberapa isu. Antara yang besar ialah jatuhnya Mohd Shukri Ramli dari jawatan Menteri Besar Perlis serta kegagalan cubaan menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, baru-baru ini.

Bagaimanapun PAS mungkin berdepan dengan cabaran jika mereka mahu mengetepikan Bersatu dari PN kerana keputusan tersebut bergantung kepada kesepakatan parti lain dalam gabungan berkenaan.

Selain PAS dan Bersatu, PN turut disertai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.

Perkembangan tersebut belaku selepas PAS menghulurkan tangan kepada Umno untuk mewujudkan Muafakat Nasional 2.0.

Pada masa sama PN kini boleh dikatakan dikuasai PAS selepas kebanyakan jawatan penting diisi oleh pemimpin parti tersebut, termasuk pengerusinya.

Ahmad Fadhli berkata keutamaan PAS ialah penyatuan ummah.

“Apabila Bersatu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengambil sikap menentang kemasukan parti-parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS