Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Bersatu Kelantan ‘pasrah’, Mohd Amar kata ‘tunggu dan lihat’

Ahli-ahli dewan undangan negeri (Adun) Bersatu dalam kerajaan negeri PN dilihat sekadar bersikap ‘pasrah’ dan sedia menerima takdir masing-masing susulan perkembangan terkini hubungan parti itu dengan PAS.

Tidak terburu-buru dengan sebarang tindakan, Adun Air Lanas, Kamarudin Md Nor, berkata dia menyerahkan kedudukannya dalam kerajaan Kelantan kepada Menteri Besar Nassuruddin Daud.

Dia yang juga Pengerusi Bersatu Kelantan juga memberitahu, ia juga bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti tersebut.

“(Setakat ini) belum tahu, terserah kepada menteri besar dan juga keputusan pucuk pimpinan Bersatu,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai status kedudukannya dalam kerajaan negeri susulan keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.

Perkara itu dinyatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dalam kenyataan media selepas mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Adun Kok Lanas, Mohamed Farid Mohamed Zawawi, pula berkata, mengikut kefahamannya status Adun-Adun Bersatu di Kelantan terletak sepenuhnya kepada budi bicara PAS.

Hal itu kerana, katanya, mereka bertanding sebelum ini – sekali gus menang – adalah atas tiket parti itu.

Dia yang dipecat Bersatu baru-baru ini turut berpendapat nasib Adun-Adun Bersatu yang masih bersama kepimpinan Bersatu bergantung pada kebijaksanaan Nassuruddin dan Speaker DUN, Mohd Amar Abdullah.

“Saya sendiri bukan lagi ahli Bersatu kerana dipecat pada 11 Mei lalu, jadi kenyataan di atas adalah mencukupi.

“Adun-Adun Bersatu yang ada adalah penyokong tegar Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ada juga kalangan mereka yang memegang jawatan penting dalam kerajaan Kelantan.

“Kedudukan mereka kita serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan menteri besar, speaker dan pimpinan PAS Kelantan,” katanya.

Dalam perkembangan itu, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Sebaliknya dia hanya berkata: “Tunggu dan lihat”.

Untuk rekod, semasa PRU lalu semua watikah PN - yang diperlukan untuk seseorang layak menjadi calon - bagi Terengganu dan Kelantan dikeluarkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS