Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi bahan api Malaysia melonjak ke RM7.5 bilion pada April
Diterbitkan:  Jun 9, 2026 6:24 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Perbelanjaan bulanan subsidi bahan api Malaysia meningkat setinggi RM7.5 bilion pada satu ketika dalam bulan April, apabila ketegangan Asia Barat melonjakkan harga minyak global dan menambah kebimbangan mengenai bekalan tenaga, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata perbelanjaan subsidi itu meningkat daripada kira-kira RM700 juta sebulan pada Januari dan Februari kepada RM5 bilion pada Mac, sebelum mencecah paras tinggi pada April, walaupun jumlah itu menjadi sederhana susulan penurunan harga minyak.

“Bagaimanapun, pada masa ini dengan harga yang semakin turun dan menjadi sederhana, kita mungkin menjangkakan subsidi berjumlah kira-kira RM3.5 bilion hingga RM4 bilion,” katanya semasa sesi bertajuk ‘Mengimbangi Fokus Fiskal dengan Risiko Luaran’ di Invest Malaysia 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata keutamaan serta-merta kerajaan adalah memastikan bekalan bahan api tidak terganggu untuk menyokong ekonomi.

“Ekonomi tidak boleh berfungsi jika tiada bekalan (bahan api),” katanya.

Amir Hamzah berkata setakat ini Malaysia telah mengelakkan gangguan bekalan sebahagiannya kerana negara ini ialah pengeksport tenaga bersih, manakala institusi negara dan syarikat minyak berhasil memperoleh bekalan melalui rangkaian global masing-masing.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS