Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Isu Rohingya di Malaysia tidak lagi boleh dilihat sebagai isu kemanusiaan semata-mata. Ia telah berkembang menjadi persoalan dasar awam yang menyentuh keselamatan negara, kawalan sempadan, dokumen pengenalan diri, kesihatan awam, ekonomi setempat, ketenteraman komuniti dan kedaulatan undang-undang.

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat wajar membantu atas dasar kemanusiaan. Namun, kemanusiaan tidak boleh ditafsirkan sebagai kelonggaran pentadbiran sehingga menjejaskan kepentingan rakyat sendiri.

Dalam kerangka Ibn Khaldun, kekuatan sesebuah masyarakat banyak bergantung kepada asabiyah, iaitu ikatan sosial yang membolehkan sesuatu komuniti mempertahankan dirinya, menjaga tertibnya dan mengekalkan keyakinan terhadap kepimpinan serta institusi negara.

Asabiyah bukan sekadar semangat perkauman. Ia lebih luas daripada itu. Ia merujuk kepada keupayaan sesebuah masyarakat untuk berdiri sebagai satu komuniti yang mempunyai rasa aman, memiliki, dilindungi dan rasa negara masih berfungsi sebagai pelindung kepentingan bersama.

Apabila isu Rohingya menjadi semakin riuh di mana-mana, kerajaan tidak boleh lagi melihatnya sebagai isu terpencil. Keresahan orang Melayu dan masyarakat Malaysia secara umum menunjukkan bahawa keyakinan terhadap kawalan negara sedang diuji.

Rakyat semakin mempersoalkan kemampuan kerajaan mengawal kemasukan, penempatan, dokumen, pekerjaan, kesihatan dan keselamatan yang berkaitan dengan warga Rohingya.

Kebimbangan itu bukan lahir dalam ruang kosong. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat menyaksikan lambakan warga asing di kawasan tertentu, termasuk kawasan pasar borong, petempatan padat, rumah sewa, perniagaan tidak formal dan ruang ekonomi tempatan. Isu seperti kemasukan tidak sah, penggunaan dokumen meragukan, pemalsuan identiti, kegiatan ekonomi tanpa lesen, beban hospital kerajaan, risiko penyakit berjangkit dan kesalahan jenayah menambahkan rasa tidak selamat dalam kalangan rakyat tempatan.

Gelombang kebimbangan awam itu turut dapat dilihat melalui petisyen dalam talian yang menuntut kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap kehadiran Rohingya di Malaysia.

Petisyen awam seperti itu tidak boleh dianggap sebagai bukti muktamad terhadap fakta keselamatan atau ekonomi. Namun, ia tetap menunjukkan wujudnya keresahan sosial yang nyata dalam kalangan rakyat.

Pengajaran dari migrasi massa

Keresahan tersebut berkisar kepada isu tekanan terhadap sumber negara, perkhidmatan awam, keselamatan komuniti, ekonomi tempatan dan keperluan pelan kerajaan yang lebih komprehensif.

Di sinilah pentingnya memahami asabiyah secara lebih halus. Apabila rakyat mula merasakan bahawa ruang hidup mereka berubah, peluang ekonomi mereka terhimpit, kawasan kediaman menjadi tidak terkawal dan perkhidmatan awam semakin terbeban, ikatan sosial masyarakat tempatan mula terganggu.

Mereka bukan sahaja mempersoalkan kehadiran orang luar, tetapi lebih daripada itu, mereka mempersoalkan sama ada negara ini masih berupaya mempertahankan tertib sosial dan kedaulatan undang-undang atau sebaliknya.

Namun, kerajaan juga perlu membezakan antara keresahan dasar dengan sentimen kebencian. Bahasa penghinaan terhadap mana-mana komuniti tidak wajar digalakkan. Kesalahan individu tidak boleh dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan komuniti.

Pada masa yang sama, kebimbangan rakyat terhadap keselamatan, sempadan, dokumen, ruang niaga, kesihatan awam dan beban sosial juga tidak boleh diketepikan secara mudah sebagai prasangka semata-mata.

Gambar hiasan

Sejarah memberi pengajaran bahawa migrasi besar-besaran yang tidak diurus secara strategik boleh mengubah struktur sosial dan ekonomi sesebuah negara dalam jangka panjang.

Pada zaman kolonial, kemasukan buruh asing ke Tanah Melayu berlaku dalam kerangka ekonomi British, khususnya pelombongan, perdagangan dan pelaburan. Perubahan itu akhirnya bukan saja membentuk masyarakat majmuk, malah turut melahirkan ketidakseimbangan ekonomi dan keresahan sosial.

Perbandingan ini bukan bertujuan menyamakan Rohingya dengan mana-mana kaum dalam sejarah negara. Ia sekadar mengingatkan bahawa pergerakan manusia secara besar-besaran, jika tidak dikawal oleh dasar negara yang kukuh, boleh membawa kesan sosial yang mendalam pada masa depan.

Pengalaman Bangladesh juga wajar dijadikan iktibar. Bangladesh menerima jumlah Rohingya yang jauh lebih besar berbanding Malaysia, tetapi pendekatannya tidak hanya berasaskan belas kasihan.

Tindakan secara menyeluruh

Negara itu menggabungkan bantuan kemanusiaan dengan pendaftaran biometrik, penempatan terkawal, kawalan pergerakan, penglibatan pasukan keselamatan, kerjasama antarabangsa dan keutamaan kepada repatriasi.

Pendekatan itu menunjukkan bahawa negara hos berhak mempertahankan kepentingan nasional walaupun pada masa yang sama melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan.

Malaysia perlu mengambil pengajaran yang sama. Isu Rohingya tidak boleh dibiarkan bergerak secara bebas melalui penempatan tidak rasmi, pekerjaan tidak formal, perniagaan tidak berlesen dan kebergantungan kepada dokumen pihak luar tanpa pengesahan kerajaan.

Negara tidak boleh membenarkan komuniti tanpa status kewarganegaraan yang jelas membentuk jaringan sosial dan ekonomi tersendiri sehingga sukar dikawal oleh pihak berkuasa.

Pertama, kerajaan perlu memperketat kawalan sempadan. Kemasukan tidak sah melalui jalan laut atau darat mesti ditangani sebagai isu keselamatan negara. Jika pintu masuk tidak dikawal, semua dasar selepas itu akan menjadi reaktif dan tidak mencukupi.

Tindakan terhadap penyeludup manusia, ejen, tekong dan rangkaian yang memudahkan kemasukan tidak sah perlu diperhebatkan. Pendekatan belas kasihan kepada mangsa tidak boleh membawa kepada kompromi terhadap pihak yang menjadikan migrasi haram sebagai perniagaan.

Kedua, kerajaan perlu mewujudkan pangkalan data nasional yang berpusat. Semua warga Rohingya dan pemegang dokumen UNHCR perlu melalui proses pendaftaran biometrik yang disahkan oleh kerajaan.

Data tersebut perlu meliputi cap jari, wajah, lokasi tempat tinggal, status keluarga, rekod kesihatan, rekod pekerjaan dan rekod pergerakan. Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada dokumen pihak luar tanpa sistem pengesahan sendiri.

Kedaulatan data mesti berada di tangan kerajaan Malaysia.

Ketiga, isu MyKad dan dokumen palsu perlu diberi perhatian tertinggi. Jika benar terdapat kes bukan warganegara memiliki MyKad secara tidak sah, ia bukan sekadar kes individu, tetapi melibatkan keselamatan negara.

Saringan kesihatan berkala

Siasatan tidak boleh terhenti pada pemegang dokumen sahaja. Kerajaan perlu menyiasat rangkaian yang terlibat, termasuk orang tengah, sindiket, ejen dan mana-mana pegawai yang mungkin menyalahgunakan kuasa.

Dokumen pengenalan diri ialah asas kedaulatan negara. Jika asas ini bocor, keyakinan rakyat terhadap negara akan terhakis.

Keempat, kerajaan perlu mengawal penguasaan ekonomi tidak formal. Kawasan seperti pasar borong dan pusat perniagaan tertentu tidak boleh dibiarkan dikuasai oleh warga asing.

Pihak berkuasa tempatan perlu menyemak semula lesen perniagaan, pemilik sebenar, penyewa tapak, operator harian dan penggunaan pekerja asing. Tindakan juga perlu diambil terhadap rakyat tempatan yang menyewakan lesen, tapak atau premis kepada warga asing secara tidak sah.

Masalah ini tidak akan selesai jika hanya warga asing dikenakan tindakan sedangkan rangkaian tempatan yang mendapat keuntungan dibiarkan.

Kelima, saringan kesihatan wajib perlu dilaksanakan secara berkala. Isu penyakit berjangkit tidak boleh dijadikan bahan kebencian terhadap mana-mana komuniti, tetapi kerajaan tetap wajib melindungi rakyat.

Semua individu tanpa status tetap perlu melalui pemeriksaan kesihatan, vaksinasi yang perlu, pemantauan penyakit berjangkit dan rekod perubatan berpusat.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu menetapkan mekanisme pembiayaan kos rawatan supaya hospital kerajaan tidak menanggung beban secara tidak terkawal.

Keenam, kerajaan perlu mempertimbangkan model penempatan terkawal. Membiarkan komuniti pelarian bergerak bebas tanpa kawalan jangka panjang boleh menimbulkan masalah keselamatan, sosial dan pentadbiran.

Penempatan terkawal bukan bermaksud layanan tidak berperikemanusiaan. Sebaliknya, ia boleh memudahkan pemantauan keselamatan, kesihatan, pendidikan asas anak-anak, pergerakan, bantuan makanan dan program repatriasi. Tanpa sistem penempatan yang jelas, kerajaan akan terus berdepan masalah berselerak yang sukar dikesan.

Ketujuh, kerajaan perlu menyegerakan penyelesaian melalui penghantaran semula secara sah, sama ada ke Myanmar apabila keadaan benar-benar selamat, atau ke negara ketiga. Malaysia tidak boleh terus menjadi tempat menunggu tanpa garis masa yang jelas.

Kehadiran Rohingya tidak boleh dibiarkan berubah daripada perlindungan sementara kepada penempatan kekal secara tidak langsung.

Bahasa awam jadi keras

Kerajaan perlu mendesak UNHCR, Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara-negara berkemampuan supaya melaksanakan mekanisme penempatan semula yang lebih tegas, berjadual dan boleh diukur.

Jika repatriasi ke Myanmar masih terhalang oleh faktor keselamatan, maka penempatan semula ke negara ketiga mesti dijadikan agenda diplomatik utama.

Malaysia tidak wajar menanggung beban kemanusiaan ini secara berpanjangan tanpa komitmen nyata daripada masyarakat antarabangsa.

Kelapan, kerajaan perlu menjaga hubungan antara rakyat tempatan dan komuniti pelarian. Isu ini tidak boleh dibiarkan menjadi api sosial. Bahasa kebencian, penghinaan kolektif dan tindakan jalanan tidak akan menyelesaikan masalah.

Namun, kegagalan kerajaan bertindak tegas juga akan membesarkan kemarahan rakyat. Jalan tengah yang betul ialah penguatkuasaan undang-undang secara konsisten, komunikasi dasar yang jelas dan perlindungan terhadap kepentingan rakyat tempatan.

Dalam bahasa Ibn Khaldun, negara yang gagal menjaga keadilan, keselamatan dan ketertiban akhirnya melemahkan asabiyah masyarakatnya sendiri. Rakyat mula hilang keyakinan terhadap institusi. Komuniti tempatan mula membina pertahanan sosial sendiri. Bahasa awam menjadi keras. Kecurigaan terhadap orang luar meningkat.

Pada tahap itu, masalah migrasi tidak lagi berdiri sebagai masalah pentadbiran, tetapi berubah menjadi masalah kepercayaan sosial.

Kesimpulannya, Malaysia perlu bersikap manusiawi, tetapi kemanusiaan mesti diurus dalam kerangka kedaulatan negara. Bantuan boleh diberikan, tetapi sempadan mesti dikawal.

Pelarian boleh didaftarkan, tetapi dokumen negara tidak boleh dikompromi. Rawatan kesihatan boleh disediakan, tetapi kosnya mesti diurus. Kesalahan individu tidak boleh dijadikan alasan membenci satu kaum, tetapi kebimbangan rakyat juga tidak boleh ditolak sebagai prasangka semata-mata.

Keyakinan awam terhadap kedaulatan negara sedang diuji. Jika kerajaan terus dilihat lambat, longgar atau tidak tegas, keresahan sosial akan terus membesar.

Malaysia memerlukan dasar Rohingya yang lebih jelas, tersusun dan berani: beradab dari sudut kemanusiaan, tetapi kukuh dari sudut undang-undang, keselamatan, asabiyah masyarakat dan kedaulatan negara.


WAN MOHD AZZIADI WAN ABD JALIL ialah pelajar peringkat doktor falsafah di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS