Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk 'tiada tindakan lanjut' (NFA) dalam siasatan polis terhadap dakwaan ahli perniagaan Albert Tei yang menuduh bekas ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki membuat ugutan terhadapnya.
Dalam satu kenyataan, AGC berkata semakan menyeluruh terhadap siasatan polis mendapati bahawa unsur-unsur intimidasi jenayah tidak dapat dibuktikan dalam kes tersebut.
"Oleh yang demikian, kertas siasatan tersebut telah diputuskan untuk diklasifikasikan sebagai NFA," katanya.
Pada 13 Mei, Tei membuat laporan polis yang mendakwa Azam telah mengugut dan cuba menghalangnya daripada mendedahkan skandal rasuah Sabah pada November 2024.
Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan merakam kenyataan Azam.
Tei dakwa ada layanan istimewa
Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Albert mengecam AGC dengan mendakwa jabatan itu memberi layanan istimewa kepada orang yang berprofil tinggi.
"Cekap betul AGC mengendalikan kes Azam Baki.
"Menunjukkan bahawa orang yang berprofil tinggi diberikan layanan istimewa, tidak dapat disentuh," katanya sambil merujuk dakwaan tentang beberapa pegawai SPRM mengacukan pistol terhadap dia dan keluarga ketika menyerbu rumahnya pada 28 November lalu.
"Beberapa laporan polis telah dibuat, mempunyai rakaman CCTV yang jelas untuk menyokong dakwaan saya dan decoder CCTV tersebut telah dirampas oleh SPRM, tetapi sehingga hari ini tidak tahu di mana decoder itu.
"Beberapa bulan yang lalu, saya telah dimaklumkan oleh pihak polis bahawa kertas siasatan telah dilengkapkan dan dihantar kepada AGC. Saya dan keluarga telah menunggu selama tujuh bulan untuk menuntut keadilan, tetapi tidak ada sebarang maklum balas atau keputusan daripada AGC sehingga hari ini.
"Inilah namanya kecekapan, layanan dan tindakan dua darjat yang ditunjukkan oleh AGC kepada seluruh masyarakat. Manakala ini juga adalah punca utama mengapa masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadap institusi undang-undang negara kita," katanya.
SPRM bagaimanapun sebelum ini menegaskan serbuan serta rampasan di rumah Tei dibuat mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
