Ketua Umno Bahagian Beruas, Azhar Ahmad memilih jalan berdamai dengan cucu kepada bekas mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi.
Ia selepas dakwaan Nik Alif Aiman ditampar oleh Azhar dalam insiden yang dikatakan berlaku di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Bentong, Pahang pada 20 Mei lalu.
Kedua-dia mereka tampil saling bermaafan dan menyifatkan perkara itu sebagai salah faham merujuk kepada dakwaan tersebut dan kenyataan dibuat kedua-dua pihak sebelum ini.
“Kedua-dua pihak menerima permohonan maaf tersebut dengan hati yang terbuka atas semangat ukhuwah, perdamaian, saling menghormati dan demi kepentingan semua pihak.
“Kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan secara mesra dan telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tanpa meneruskan sebarang pertikaian yang berpanjangan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Turut hadir dalam perbincangan di Kota Bharu itu termasuk Ahli Dewan Negara Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga bapa saudara Nik Alif.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Nik Alif, 23, mendakwa dia ditampar Azhar yang juga bekas senator dan tampil membuat laporan polis.
Azhar bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.
Sementara itu, mereka juga bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau tindakan yang boleh memburukkan, mengaibkan atau menjejaskan nama baik mana-mana pihak berhubung insiden tersebut.
“Kedua-dua pihak merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu memudahkan penyelesaian secara baik ini dan berharap agar hubungan sesama masyarakat terus dipelihara dalam suasana saling menghormati serta berlandaskan nilai kesopanan dan keharmonian.
“Dengan kenyataan ini, kedua-dua pihak menganggap perkara ini telah diselesaikan secara muktamad dan memohon agar semua pihak menghormati privasi serta keputusan yang telah dicapai,” menurut kenyataan itu lagi.
