Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yusoff Rawther takut balik Malaysia, mohon suaka di UK
1

Bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim - Muhammed Yusoff Rawther yang berada di United Kingdom, tidak akan pulang ke Malaysia kerana risau tentang keselamatan dirinya, menurut peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali

Anak guamnya itu, kata Rafique telah memohon suaka perlindungan hak asasi manusia di United Kingdom.

Peguam itu berkata Yusoff tidak dapat menghadiri prosiding rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis ganja dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pada 1 Jun (lalu) saya menerima satu salinan emel daripada anak guam, apa yang saya lakukan selanjutnya, pada 2 Jun saya menulis terus presiden Mahkamah Rayuan memaklumkan perkembangan terkini kes ini dan sesalinan surat juga saya salinkan juga kepada peguam negara.

“Pada 1 Jun saya mendapat pemakluman dan pengesahan bahawa anak guam saya memohon perlindungan suaka hak asasi manusia kepada kerajaan UK dan passportnya dipegang pihak berkuasa di sana.

Muhammad Rafique Rashid Ali

“Dia berada di London dan memohon perlindungan suaka hak asasi manusia kerana benar-benar berada dalam ketakutan, risau tentang keselamatan dirinya dan risau diapa-apakan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 12 Jun tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Muhammad Jamil Hussin membebaskan Muhammed Yusoff, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.

Sebelum itu, dia berdepan tuduhan mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pucuk pistol dan dadah mengikut Seksyen 398(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta 206).

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 16 Jun tahun lalu dan pendengaran permohonan itu dijadualkan berlangsung di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 15 Jun ini.

Mengulas lanjut, Rafique berkata ketakutan yang dihadapi Yusoff berpunca daripada proses yang dilalui anak guamnya itu, yang disifatkan amat menakutkan, menyakitkan dan merisaukan.

“Kita sedia maklum apabila pertuduhan dibawa terhadapnya dan dia sentiasa menyatakan dirinya adalah mangsa perangkap, dirinya diperangkap dan dikenakan perangkap,” katanya.

Tambah Rafique, kerisauan itu menjadi lebih serius apabila pihak pembelaan semasa perbicaraan menyatakan Yusoff menjadi mangsa perangkap individu berpengaruh, atau pihak yang mempunyai kaitan dengan individu berkenaan, atau mereka yang menerima arahan daripada individu terbabit.

“Ini merupakan kerisauan yang bukan dibuat-buat kerana dengan jelas menyatakan dia merupakan mangsa perangkap. Dia buat laporan polis dan dia bagi tahu dalam rakaman percakapan tentang perkara ini dan walaupun alasan ini dimasukkan dalam alasan penghakiman hakim Mahkamah Tinggi.

“Saya di sini untuk menyatakan Yusoff Rawther takut untuk pulang ke Malaysia, takut tentang keselamatan dirinya. Dia tidak takut dengan kes yang dihadapi kerana di ditangkap, direman sembilan bulan 10 hari, dia hadap proses mahkamah, dia lawan dalam mahkamah dan terbukti tidak bersalah. Dia tidak lari proses dari proses perundangan.

“Tapi apa yang berlaku ahli-ahli PKR buat laporan polis kononnya Yusoff adalah ejen negara asing, terus dibuat laporan polis sebaik dia dibebaskan,” dakwanya lagi.

Rafique turut membangkitkan beberapa kes kehilangan dan kematian misteri yang menjadi antara punca kebimbangan anak guamnya terhadap keselamatan diri.

Dia merujuk kehilangan ahli perniagaan Pamela Ling serta kematian seorang Pegawai Tribunal Kastam berusia 45 tahun yang ditemukan maut di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 5 Mac 2025.

Katanya, dalam senario sedemikian, Yusoff berasa dirinya tidak selamat manakala ketika tiba di United Kingdom dia sudahpun berstatus orang bebas.

“Dengan isu-isu yang terkena pada dirinya, pengalaman dilalui, dia mohon suaka dan kerajaan UK sedang proses dan belum memuktamadkan lagi permohonan tersebut tetapi dalam masa sama menahan passportnya.

“Ini mengesahkan bahawa Yusoff berada di UK, kita pun takut nak bagitahu dia berada di mana sebab seperti mana saya nyatakan ada tekanan-tekanan ke atas diri dan keselamatannya dan Yusoff bukan melarikan diri.

“Yusoff juga tidak mohon rayuan terhadap kesnya dibatalkan tanpa proses pendengaran dan menyatakan mahu meneruskan rayuan tersebut,” katanya.

Yusoff memfailkan saman pada Julai 2021 menuntut deklarasi mahkamah bahawa Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya, selain memohon ganti rugi am, teladan, dan teruk atas trauma serta gangguan kesihatan mental yang dialaminya

Dia mendakwa presiden PKR yang ketika itu ketua pembangkang, melakukan serangan seksual terhadapnya pada 2018.

Kes ini masih belum memulakan perbicaraan penuh susulan kelewatan berikutan beberapa permohonan praperbicaraan dan tuntutan balas yang difailkan oleh kedua-dua belah pihak.

Perdana menteri itu pula memfailkan permohonan awal sebelum perbicaraan agar beberapa isu diputuskan terlebih dahulu.

Antara isu itu termasuk pergerakan dan kehadiran Yusoff di kediaman peribadi Anwar pada hari kejadian yang didakwa, sama ada melalui afidavit atau prosiding tertutup (in-camera).

Permohonan itu turut membabitkan dakwaan bahawa penentuan isu-isu berkenaan berpotensi menamatkan keseluruhan kes.

Permohonan Anwar ditetapkan untuk pendengaran pada 4 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS