Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Provokasi, kekangan jadi punca PAS tinggalkan Bersatu - Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Jun 10, 2026 6:36 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

PAS hari ini mendedahkan pelbagai provokasi, kekangan dan kesukaran yang dihadapi sepanjang menjalinkan kerjasama politik dengan Bersatu sehingga membawa kepada keputusan menghentikan hubungan politik antara kedua-dua pihak.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada kedua-dua parti menentukan hala tuju masing-masing tanpa terikat antara satu sama lain, namun menegaskan ia tidak bermaksud memutuskan hubungan silaturahim.

"Walaupun kerjasama politik terhenti, persahabatan dan ukhuwah tidak seharusnya terputus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelaskan kesukaran yang dihadapi sebelum ini, Tuan Ibrahim mendedahkan wujudnya pelbagai kekangan khususnya apabila PAS berusaha menjemput ahli Parlimen atau pimpinan daripada pasukan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin yang dipecat keahliannya ke program anjuran parti itu.

Dia memberi contoh tindakan Bersatu yang tidak disenangi rakan sekutu apabila PAS Melaka menjemput ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dalam program anjuran mereka.

"Justeru, jika penjemputan seperti itu pun sudah menimbulkan rasa tidak selesa, apatah lagi jika ia melibatkan pasukan yang dikenali sebagai Reset untuk duduk bersama dalam gerak kerja Perikatan Nasional," katanya.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata usaha PAS untuk menyatukan parti-parti lain seperti Berjasa, Pejuang dan Perkasa ke dalam PN turut menemui jalan buntu akibat bantahan daripada Bersatu.

"Mungkin Bersatu khuatir penerimaan parti-parti ini akan membuka ruang kepada bekas pimpinan mereka untuk menyelinap masuk melalui parti-parti tersebut. Hal ini tidak sepatutnya berlaku," jelasnya.

Isnin lalu, PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim, berkata suasana semakin meruncing ekoran tindakan Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan, selain kenyataan provokatif sebahagian pemimpin Bersatu yang menyerang PAS secara terbuka dengan semakin kerap.

Susulan itu, PAS membawa isu kerjasama ini kepada Majlis Syura Ulama. Hasil kajian dan mesyuarat, Majlis Syura kemudian mengemukakan pandangan untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa PAS Pusat.

"Maka, setelah melalui perbincangan yang panjang, PAS membuat keputusan secara sebulat suara untuk menghentikan kerjasama dengan Bersatu," katanya sambil menambah kesepakatan itu disokong penuh dengan laungan takbir di dalam dewan mesyuarat sebaik pengumuman dibuat.

Bagaimanapun, dia memberi jaminan bahawa hubungan dan ukhuwah antara ahli serta pimpinan kedua-dua parti akan terus terjalin dan terpelihara demi kebaikan ummah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS