Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno terbuka kerjasama politik tapi pertahan Madani sampai PRU16

Umno terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama politik yang berpaksikan prinsip keikhlasan dan kepercayaan demi kestabilan negara, kata Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Namun, Asyraf menegaskan parti itu kekal dengan pendirian untuk mempertahankan kerajaan perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

"Umno terbuka kepada apa jua bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat.

"Apa jua bentuk kerjasama mesti dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Kuala Lumpur, malam ini.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kemelut politik antara BN dan PH, susulan keputusan BN Johor untuk bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkembangan itu turut disambut PAS yang mengajak Umno menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) atas dasar penyatuan ummah.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hampir pasti akan diikuti beberapa negeri lain kerana penggal masing-masing semakin menghampiri penghujung.

Dia yang juga timbalan pengerusi PN berkata pembubaran itu membuka jalan kepada pelaksanaan PRN, sekali gus mengembalikan hak rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan.

Gambar fail, Tuan Ibrahim bersama Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan ketika era kerjasama Muafakat Nasional.

“Ia juga membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baru dalam politik Malaysia. Satu peralihan yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini.

“Lebih daripada itu, ia juga mampu membentuk kekuatan politik bumiputera, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, bahkan juga di Sabah dan Sarawak,” katanya pada satu kenyataan.

Sementara itu, Asyraf berkata pendirian Umno terhadap kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan tidak berubah.

"Umno akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, sehingga pilihan raya.

"Kerajaan negeri Johor dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia tanpa melibatkan parti-parti daripada PH,"katanya.

Justeru, kata Asyraf perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS