Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Marzuki dakwa MN 2.0, penceraian PAS-Bersatu permainan Anwar
Diterbitkan:  Jun 11, 2026 4:08 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Dakwaan bahawa sikap sombong Muhyiddin Yassin punca keretakan hubungan PAS dan Bersatu disifatkan sebagai hanya alasan kosmetik bagi menutup agenda politik yang lebih besar, khususnya pembentukan semula Muafakat Nasional (MN 2.0).

Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas perdana menteri itu, Marzuki Mohamad mendedahkan bahawa punca sebenar adalah isu pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang menjadi faktor utama penyisihan Bersatu, susulan syarat ketat yang ditetapkan oleh Umno.

Menurutnya, Umno sejak awal enggan bekerjasama jika Bersatu kekal dalam jajaran tersebut kerana mahu bertanding di kerusi-kerusi milik parti berkenaan.

"Tiba-tiba Muhyiddin menjadi sombong. Padahal dari dahulu lagi begitulah karakternya—tegas, tidak mudah mengalah.

"Kenapa syaratnya mesti menyisihkan Bersatu? Jawapannya mudah sahaja. Kerusi. Umno mahu bertanding di kerusi-kerusi milik Bersatu.

“Umno juga tidak mahu melihat pengaruh Bersatu berkembang kerana kedua-dua parti bersaing merebut segmen pengundi yang sama.

“Jadi, jika PAS mahu bekerjasama dengan Umno, Bersatu mesti dikorbankan. Bersatu menjadi sacrificial lamb (kambing hitam) untuk menjayakan MN 2.0," katanya dalam satu kenyataan, hari ini

.

Lebih mengejutkan, Marzuki turut mendakwa adanya "permainan politik aras tinggi" yang sedang berjalan lancar di bawah pengetahuan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau memetik beberapa rentetan peristiwa besar—termasuk Langkah Bangkok, isu akuan bersumpah (SD) bagi menumbangkan kerjaan Perpaduan di Negeri Sembilan, serta keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo di Johor.

Dakwanya semua peristiwa itu sengaja dibiarkan oleh perdana menteri demi keuntungan politik pihak tertentu.

"Anwar tahu, tetapi Anwar tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya. Atau adakah seseorang sedang meyakinkan Anwar bahawa ini semua adalah 'game' untuk memecah-belahkan PN dan akhirnya menguntungkan Anwar?

“Siapa sedang mainkan siapa? Ya, PN sedang berpecah,” katanya.

Marzuki berkata, jika Bersatu tunduk kepada desakan 13 ahli Parlimen yang menggesa parti itu supaya keluar PN, hampir separuh sokongan kepada PN pada pilihan raya akan hilang kerana gelombang PN sudah surut.

“PN dalam PRU-16 tidak lagi sama dengan PN dalam PRU-15. PN menjadi semakin lemah.

Bukankah ini menguntungkan gabungan PH-BN?

“Sementelahan pula, PAS sudah menceraikan Bersatu. Umno belum menceraikan PH.

“Mereka masih tidur sebilik.

“Dalam keadaan ini, Umno masih ada pilihan. PAS sudah tiada pilihan. Siapa lebih untung?’ soalnya.

Marzuki berkata dengan kedudukan itu agenda 'No Anwar, No DAP, No Bersatu' kini sedang menjadi realiti.

‘Mereka yang rakus mencatur, Anwar pula dipersalahkan’

Sementara itu Setiausaha Politik Anwar, Kamil Abdul Munim berkata krisis pembangkang itu berpunca daripada kelemahan kepimpinan PN sendiri.

“Orang lain yang rakus mencatur, bermain politik, dan mewujudkan ketidakstabilan, tetapi akhirnya Anwar dipersalahkan.

Kamil Abdul Munim

“Marzuki sendiri menyebut tentang pergolakan dalaman pembangkang yang berpunca daripada isu perebutan kerusi, kenapa Anwar pula yang bertanggungjawab? Gila.

“(Ini) cubaan terdesak Marzuki yang cuba mengalih perhatian krisis dalaman dan kerapuhan struktur PN itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, Anwar baru pulang dari Tokyo semalam, dan sedang sibuk mengurus negara bagi memastikan ekonomi kukuh dan berdaya tahan.

“Yang lain-lain itu sibuk juga, tapi sibuk dengan percaturan politik tebuk kapal dan tebuk atap untuk kepentingan politik sempit mereka.

“PN dan MN ternyata kedua-duanya adalah pakatan politik yang gagal. Tak ada plan jelas, tak ada agenda kukuh. Hanya menunggang isu kaum dan agama,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS