Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai tarikh pengundian untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor yang akan datang, manakala Negeri Sembilan pula menyusul pada 1 Ogos.
Bagi Johor, Pengerusi SPR Ramlan Harun mengumumkan 27 Jun sebagai tarikh penamaan calon dan 7 Julai untuk pengundian awal.
Dia memberitahu sidang media di Putrajaya hari ini bahawa pengundi pos Kategori 1A, termasuk mereka yang bertugas memantau pilihan raya, mesti mengemukakan pendaftaran undi pos mereka sebelum 24 Jun, manakala rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara serta ahli agensi dan organisasi perlu mengemukakan pendaftaran mereka sebelum 19 Jun.
Bagi Negeri Sembilan, hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundi awal akan keluar mengundi pada 28 Julai.
Pengundi pos Negeri Sembilan boleh mendaftarkan diri bermula hari ini.
Pegawai SPR, pegawai polis dan tentera serta petugas media mesti menghantar pendaftaran undi pos mereka sebelum 15 Julai.
Dua kategori pengundi yang lain mesti didaftarkan sebelum 10 Julai.
Ramlan berkata SPR memperuntukkan sejumlah RM167.4 juta untuk kedua-dua pilihan raya negeri, dengan RM86.8 disalurkan ke Johor dan RM80.6 untuk Negeri Sembilan.
Menurut data terkini SPR, pilihan raya tersebut akan melibatkan kepada 2,727,926 pengundi yang berdaftar di Johor dan 889,490 di Negeri Sembilan.
Ramlan menambah bahawa 42,971 petugas pilihan raya akan digerakkan untuk menguruskan pilihan raya di Johor, manakala 15,344 pegawai akan mengendalikan proses tersebut di Negeri Sembilan.
Mengapa pilihan raya tidak dijalankan serentak?
Apabila ditanya mengapa PRN tidak dijalankan serentak, Ramlan memetik pertimbangan logistik, latihan kakitangan pilihan raya, dan tahap kesiapsiagaan operasi sebagai sebab utama.
Bernama melaporkan dia berkata bahawa jentera di Negeri Sembilan memerlukan tempoh persediaan yang lebih lama, selepas pembubaran dewan undangan negeri yang tidak dijangka.
Berkenaan dakwaan bahawa pembubaran dewan undangan negeri Negeri Sembilan tidak sah, Ramlan berkata perkara itu di luar bidang kuasa SPR.
Dia dilaporkan berkata bahawa SPR meminta pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai perkara itu tetapi tiada masalah atau isu undang-undang yang dibangkitkan.
