Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Usah jadikan Islam topeng, Melayu tangga kuasa

ULASAN | Sudah terlalu lama orang Melayu disogok dengan slogan besar. Kononnya demi Melayu. Kononnya demi Islam. Kononnya demi penyatuan ummah. Kononnya demi masa depan bangsa.

Tetapi apabila tiba bab kuasa, kerusi dan jawatan, semuanya berubah. Yang bergaduh, Melayu. Yang tikam belakang, Melayu. Yang pecahkan saf, Melayu. Yang jatuhkan sesama sendiri pun Melayu.

Akhirnya yang memalukan Melayu bukan musuh Melayu, tetapi pemimpin Melayu sendiri.

Saya sudah lama dalam politik. Saya tahu apa yang berlaku di depan pentas dan apa yang berlaku di belakang pentas. Di depan rakyat bercakap soal perjuangan. Di belakang rakyat bercakap soal kerusi. Di depan rakyat bercakap soal penyatuan. Di belakang rakyat sibuk mengira siapa jadi calon, siapa jadi menteri, siapa jadi ketua dan siapa mesti disingkirkan.

Jangan buat muka suci. Rakyat bukan bodoh. Rakyat nampak. Rakyat dengar. Rakyat tahu siapa yang bercakap lain dan buat lain.

Putra tidak pernah berubah pendirian terhadap DAP. DAP ialah parti rasis yang mesti dilawan habis-habisan. Tetapi jangan jadikan DAP kambing hitam setiap kali pemimpin Melayu gagal menjaga saf sendiri.

Mulut siang malam wirid lawan DAP, tetapi DAP makin kuat dan Melayu pula makin berpecah. Itu bukan salah DAP semata-mata. Itu salah pemimpin Melayu yang gagal menyatukan Melayu.

Kalau benar mahu lawan DAP, Melayu mesti bersatu. Bukan saling menikam, saling menjatuhkan dan saling membuka jalan sampai akhirnya DAP tepuk tangan melihat Melayu berbalah sesama sendiri.

Saya hendak tanya secara terbuka kepada semua parti Melayu: jika benar perjuangan demi Melayu, mengapa Melayu terus dipecahkan? Jika benar perjuangan demi Islam, mengapa akhlak politik semakin buruk? Jika benar mahu penyatuan ummah, mengapa langkah pertama yang dibuat ialah bergaduh sesama sendiri?

Kuat berjanji, gigih menuduh

Jangan jadikan Islam sebagai topeng politik. Jangan jadikan Melayu sebagai tangga kuasa. Jangan jadikan rakyat sebagai penonton kepada sandiwara yang semakin hari semakin memualkan.

Lebih meloyakan tekak, ada pemimpin Melayu yang siang malam bercakap kononnya mempertahankan Melayu dan Islam, tetapi pada masa yang sama sibuk mengira kerusi, sibuk berunding jawatan dan sibuk mencari jalan menjatuhkan kawan sendiri.

Di depan rakyat bercakap soal perjuangan, di belakang rakyat bercakap soal kuasa.

Jangan berlakon jadi pejuang kalau hakikatnya jadi pemburu jawatan. Jangan bercakap soal pengorbanan kalau akhirnya yang diperjuangkan hanyalah kedudukan sendiri.

Saya hendak cakap terus – Melayu hari ini bukanlah kalah kerana DAP terlalu kuat.

Melayu kalah kerana terlalu ramai pemimpin Melayu yang kuat bercakap tetapi lemah akhlak, kuat berjanji tetapi lemah amanah, kuat menuduh tetapi gagal melihat keburukan diri sendiri.

Jangan salahkan orang lain kalau rakyat semakin muak. Yang menjatuhkan maruah Melayu hari ini bukan musuh Melayu. Yang menjatuhkan maruah Melayu ialah pemimpin Melayu yang menjadikan perjuangan sebagai topeng dan kuasa sebagai matlamat.

Cukuplah sandiwara ini. Cukuplah drama kononnya semua orang pejuang bangsa.

Kalau benar pejuang, buktikan dengan tindakan. Kalau benar ikhlas, hentikan permainan kuasa. Kalau benar mahu selamatkan Melayu, berhenti daripada memecahkan kekuatan Melayu setiap kali cita-cita politik sendiri tidak tercapai.

Usah berlakon konon pejuang

Bangsa Melayu tidak perlukan lebih ramai jaguh pentas. Bangsa Melayu perlukan pemimpin yang tahu malu apabila bangsanya sendiri dimalukan.

Lantaklah siapa hendak berkawan dengan siapa, hendak bergaduh dengan siapa, hendak bersekongkol dengan siapa atau hendak menikam siapa. Itu urusan mereka. Tetapi jangan lagi jual nama Melayu dan Islam untuk menutup kerakusan politik sendiri.

Jangan lagi berlakon jadi pejuang kalau hakikatnya diri adalah pemburu jawatan dan kebendaan. Jangan bercakap soal maruah bangsa kalau diri sendiri yang sedang memalukan bangsa.

Putra akan terus melawan DAP dan konsisten tolak DAP (sebab itu saya tidak menjadi ahli Bersatu semasa awal penubuhannya kerana Bersatu menyertai PH yang ada DAP bersama, dan saya tidak hipokrit).

Saya teguh dengan perjuangan mempertahankan Islam, membela orang Melayu dan memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira siapa kawan atau lawan.

Yang salah tetap salah walaupun memakai serban, songkok atau baju Melayu.


IBRAHIM ALI ialah Presiden Parti Putra.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS