Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan rekod penyalahgunaan dadah tertinggi - AADK

Empat negeri yang terletak berhampiran dan di sempadan negara terus merekodkan kadar tertinggi penyalahgunaan dadah di negara ini bagi tempoh 2025.

Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Siti Mariam Mursidan berkata Kelantan mencatat kadar tertinggi, iaitu sebanyak 1,105 penagih dan penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Terengganu (997 orang), Perlis (970 orang) dan Kedah (965 orang).

Beliau berkata faktor geografi negeri memudahkan kemasukan bekalan bahan terlarang ke pasaran tempatan, sekali gus memudahkan golongan penagih mendapatkan sumber dadah berkenaan.

"Secara keseluruhan sebanyak 191,832 tangkapan melibatkan penagih dan penyalah guna dadah serta bahan terlarang direkodkan sepanjang tahun lepas.

"Selain empat negeri tersebut, negeri lain yang turut mencatat kadar agak tinggi ialah Pahang dengan 795 orang, Pulau Pinang (757 orang), Melaka (659 orang) dan Perak (579 orang). Bagaimanapun semua negeri masih berada dalam keadaan terkawal," katanya selepas program Kuala Nerus Car Free Hour (KNCFH) dan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Negeri Terengganu 2025, di Kuala Nerus hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negeri Terengganu SAC Suffian Sulaiman dan Pengarah AADK negeri Terengganu Arzmi Abdullah.

Pada majlis itu, Siti Mariam turut mengumumkan pemilihan dua kampung, iaitu Kampung Gong Rawai, Kuala Terengganu dan Kampung Rawai, Marang sebagai perintis Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah.

Beliau berkata pemilihan lokasi itu berdasarkan komitmen kepimpinan serta komuniti dalam membantu AADK melaksanakan sebarang program pencegahan serta aktiviti berkaitan.

"Pemilihan kampung bukanlah bermakna kawasan itu ramai penagih dadah, tetapi atas dasar kerjasama dan kesediaan komuniti dan pemimpin masyarakat terhadap sebarang usaha memerangi najis dadah.

"Terengganu agak istimewa kerana dua kampung dipilih sebagai projek perintis, di negeri-negeri lain hanya satu sahaja kampung angkat untuk program sama," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS