Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid, MCA hentam Nga sebab kritik SPR asingkan PRN Johor, NS
Diterbitkan:  Jun 13, 2026 6:47 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menegur Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, kerana mengkritik keputusan badan pilihan raya itu untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan secara serentak.

Zahid dipetik Astro Awani berkata kuasa SPR untuk memutuskan pelaksanaan kedua-dua pilihan raya negeri secara berasingan tidak wajar dipersoalkan, khususnya oleh seorang menteri kabinet.

“Itu adalah hak dan kuasa SPR dan tidak sepatutnya mana-mana individu, apatah lagi jika berkedudukan sebagai anggota Jemaah Menteri, mengemukakan pandangan peribadi sedemikian.

“Lebih-lebih lagi jika individu berkenaan adalah pemimpin utama parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

Pengerusi SPR, Ramlan Harun menjelaskan pilihan raya itu tidak dapat diadakan serentak kerana pertimbangan logistik, latihan petugas pilihan raya dan tahap kesiapsiagaan operasi.

Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, semalam menyifatkan penjelasan SPR berhubung perbezaan tarikh itu sebagai “tidak masuk akal” dan “mengarut”, selain berkata seluruh anggota suruhanjaya itu patut meletakkan jawatan jika tidak mampu mengadakan pilihan raya serentak bagi dua negeri yang membubarkan dewan undangan negeri masing-masing hanya selang tiga hari.

“Jika SPR tidak mampu mengendalikan pilihan raya serentak bagi hanya dua negeri, apa akan berlaku ketika pilihan raya umum?

“Memandangkan pilihan raya parlimen dan negeri pernah diadakan serentak sebelum ini, mengapa Johor dan Negeri Sembilan, yang membubarkan DUN hanya berselang tiga hari, tidak boleh dijadualkan mengundi pada hari sama," soal Nga.

Muda turut mengkritik keputusan SPR itu. Naib Presiden Muda, Leben Siddarth berkata meskipun alasan Ramlan mungkin menjelaskan mengapa pengundian bagi Negeri Sembilan diadakan kemudian, ia tidak menjelaskan mengapa tarikh pilihan raya Johor tidak dapat diselaraskan sewajarnya.

“Jika objektifnya untuk memastikan persediaan mencukupi, maka melanjutkan tempoh masa Johor untuk tempoh singkat akan mencapai hasil yang sama, sambil membolehkan kedua-dua pilihan raya dijalankan secara serentak,” katanya pada satu kenyataan.

Dia menegaskan pilihan raya serentak akan mengurangkan kos, memudahkan logistik, serta mengurangkan beban petugas pilihan raya dan sukarelawan.

Nga pembangkang jalanan

Pun begitu, Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong senada dengan pandangan Pengerusi BN, Ahmad Zahid.

Neow (gambar bawah) melalui hantaran di Facebook menyifatkan Nga sebagai menteri dengan "mentaliti masih pembangkang jalanan."

Menurutnya, pemimpin DAP itu masih “sebaliknya jelas membuktikan beliau masih terperangkap dengan sindrom pembangkang era sebelum 2018 yang suka mencari salah.”

Neow berkata SPR sudah memberikan penjelasan logistik dan perundangan yang jelas, sambil membayangkan Nga sama ada gagal memahami fakta dengan betul atau sengaja mengabaikannya demi keuntungan politik.

“Buat Nga Kor Ming, hentikan budaya meroyan di media. Kerajaan memerlukan menteri yang berfungsi, bukan menteri yang mensabotaj sistem dari dalam,” tambahnya.

Semalam, SPR mengumumkan pilihan raya negeri Johor akan diadakan pada 11 Julai manakala pilihan raya Negeri Sembilan pada 1 Ogos.

Perkara itu dikritik Muda serta Nga yang juga timbalan pengerusi DAP itu, menyatakan kedua-dua pilihan raya negeri itu sepatutnya diadakan serentak dan pengerusi SPR “mesti dipertanggungjawabkan”.

Nga, menteri perumahan dan kerajaan tempatan, turut tersilap mendakwa kedua-dua dewan undangan negeri dibubarkan pada hari yang sama.

Tiada pengkhianatan

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid juga dilaporkan media tempatan menafikan Umno mengkhianati Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.

Dia berkata Umno akhirnya mengarahkan 14 Adun parti itu untuk terus menyokong Menteri Besar sementara ketika itu, Aminuddin Harun, selepas mereka pada mulanya menarik balik sokongan.

Apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan mengenai pembubaran itu, maka kita (BN) bekerja sebagai sebuah gabungan parti yang tentunya mempunyai hala tuju yang harus kita terjemahkan dalam bentuk tindakan.

"Saya tidak fikir ada sebarang pengkhianatan yang dilakukan apabila sesuatu penggal pentadbiran negeri atau peringkat nasional itu sudah tamat.

"Maka kita mencari jalan yang terbaik bagi kita memperkukuhkan kedudukan kita di Dewan Undangan Negeri ataupun di Parlimen," katanya.

Zahid juga dilaporkan menepis kritikan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, yang menyifatkan Umno hipokrit dalam pendekatannya terhadap kerjasama dengan Pakatan.

“Rakan kongsi politik harus menjaga hati. Yang penting, jaga lidah supaya tidak meluahkan apa sahaja yang terlintas,” kata Zahid seperti dipetik media tempatan.

Pada 10 Jun, Woo mempertahankan dakwaannya bahawa Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan terbabit dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan.

Memetik surat bertarikh 25 Mei yang didakwa bocor daripada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kepada pemimpin PAS, Woo yang juga Ketua Pemuda Harapan menolak dakwaan BN kononnya “tiada pilihan” selain bertanding solo dalam pilihan raya negeri akan datang.

Sebaliknya, Woo mendakwa pembubaran DUN Negeri Sembilan berpunca daripada “pengkhianatan” 14 Adun Umno yang didakwa cuba mengambil alih pentadbiran negeri melalui pintu belakang.

Menurut Woo, surat itu mendedahkan perkara sebenar, namun ada pemimpin BN tertentu kini cuba menampilkan diri sebagai mangsa dan memutar belit naratif dengan mendakwa mereka terpaksa bertanding solo kerana PH mahu bertanding di semua kerusi Negeri Sembilan.

Dia menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar, hipokrit dan menafikan fakta yang jelas.

Woo turut mendakwa pengkhianatan di Negeri Sembilan bukan hanya melibatkan Adun biasa, tetapi turut membabitkan seorang menteri kabinet yang juga timbalan presiden Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS