Keinginan untuk merasai pengalaman bercuti di luar negara menjadi antara faktor utama yang mendorong ribuan rakyat Malaysia mengabaikan amaran keselamatan dan sanggup beratur panjang bagi memasuki Selatan Thailand, terutama pada musim perayaan dan cuti persekolahan.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata tinjauan harian di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Pasir Mas; Pengkalan Kubor, Tumpat; dan Bukit Bunga, Tanah Merah; menunjukkan aliran keluar masuk yang tinggi.
Katanya pada hari biasa, kira-kira 3,000 individu direkodkan melintasi sempadan sebelum jumlahnya meningkat kepada lebih 4,000 pada hujung minggu.
"Apabila tiba musim cuti sekolah, jumlah itu meningkat dengan ketara sehingga mencecah antara 6,000 dan 7,000 orang sehari.
"Secara keseluruhan, pergerakan keluar masuk melibatkan pemegang pas sempadan dan pasport boleh mencecah sehingga 10,000 orang sehari.
“Polis sentiasa mengingatkan orang ramai bahawa situasi keselamatan di Selatan Thailand sukar diramal.
"Bila dan di mana insiden letupan atau tembakan akan berlaku, tiada siapa yang tahu.
“Amaran perjalanan yang dikeluarkan Wisma Putra sejak tahun lalu masih berkuat kuasa sehingga kini, namun ramai rakyat kita dilihat tidak mengendahkannya dan tetap sanggup beratur panjang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas faktor yang mendorong orang ramai berkunjung ke wilayah berkenaan, Mohd Yusoff berkata, berdasarkan pemerhatian, Kelantan masih memerlukan lebih banyak produk pelancongan dan lokasi rekreasi keluarga yang mampu menarik minat penduduk tempatan untuk bercuti dalam negeri.
Dia berkata, faktor psikologi masyarakat yang taasub dengan istilah percutian luar negara sebagai satu nilai tambah turut memainkan peranan.
"Rakyat kita ni, apabila mendapat cop pasport, mereka sudah menganggapnya sebagai percutian luar negara, sedangkan destinasi itu hanya dipisahkan oleh sebatang sungai.
"Selain itu, faktor kewangan turut menjadi tarikan kerana nilai mata wang negara jiran yang lebih kompetitif membolehkan mereka berasa seronok untuk berbelanja besar di sana," katanya.
Kesan belian dalam talian
Mohd Yusoff berkata sebahagian besar rakyat tempatan menyeberang sempadan hanya untuk urusan ringkas seperti menikmati makanan asli Thailand, bersiar-siar di pasar malam serta membeli snek dan produk popular di rangkaian kedai serbaneka sebelum pulang pada hari yang sama.
Sementara itu, Mohd Yusoff mencadangkan kerajaan negeri dan pihak berkaitan mempertimbangkan transformasi pekan sempadan seperti Rantau Panjang berasaskan model pembangunan Padang Besar, Perlis, sebagai langkah serampang dua mata bagi merancakkan ekonomi tempatan serta mengurangkan pengaliran keluar mata wang negara.
Dia berkata pembangunan kompleks perniagaan yang lebih teratur dan berkonsepkan kawasan rehat dan rawat (R&R) mampu menarik pelancong domestik tanpa perlu mereka melintasi sempadan.
Katanya kejayaan Padang Besar membuktikan konsep itu berkesan apabila pusat beli-belah yang dibangunkan berjaya menarik peniaga Thailand memasarkan pelbagai produk seperti pakaian, barangan keperluan dan makanan asli negara itu secara sah di Malaysia.
"Jika konsep yang sama dapat dilaksanakan di Kelantan, kita bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong, malah dapat mengurangkan kecenderungan rakyat kita menyeberangi sempadan semata-mata untuk membeli-belah atau mengunjungi pasar malam.
"Lagipun, budaya dan makanan masyarakat di kedua-dua kawasan tidak banyak berbeza," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyalahkan penguatkuasaan dan kawalan ketat polis di sempadan sebagai punca Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor menjadi lengang.
Dia menegaskan kemerosotan ekonomi di kedua-dua pekan sempadan itu sebenarnya telah bermula lebih awal, iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
"Selepas pandemik Covid-19, corak perbelanjaan masyarakat berubah secara drastik apabila semakin ramai memilih membeli produk Thailand secara dalam talian," katanya.
Menurutnya, trend pembelian dalam talian memberi kesan besar kepada perniagaan fizikal tradisional, justeru pekan sempadan tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah perniagaan lama.
Sebaliknya, tambah Mohd Yusoff, kawasan berkenaan perlu diberi nafas baru melalui konsep perniagaan yang lebih relevan dengan kehendak pengguna semasa, termasuk menjadikannya hab produk dan makanan popular dari Thailand.
"Rantau Panjang perlu dilihat sebagai destinasi yang memerlukan pembaharuan. Wujudkan premis perniagaan yang lebih menarik dan bawa masuk produk yang mendapat permintaan tinggi dari Thailand.
"Itulah antara penyelesaian terbaik untuk merancakkan semula ekonomi pekan sempadan," katanya.
- Bernama
