Kes denggi di seluruh negara meningkat 27 peratus kepada 33,367 kes setakat semalam (Minggu Epidemiologi 23) berbanding 27,640 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata situasi di Sabah lebih membimbangkan apabila negeri itu mencatatkan lonjakan drastik sebanyak 50.4 peratus dengan 2,866 kes dilaporkan berbanding hanya 1,905 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurutnya lima daerah di Sabah dikenal pasti sebagai penyumbang kes tertinggi di negeri berkenaan iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tawau, Sandakan, Penampang, dan Putatan.
"Kita tahu lonjakan ini berada dalam ramalan kitaran pusingan jangkitan yang berlaku setiap empat hingga lima tahun, tetapi kita perlu kekal waspada dalam berdepan situasi ini," katanya kepada pemberita di Manggatal, Sabah hari ini.
Terdahulu, Dzulkefly merasmikan sambutan Hari Denggi Asean, Hari Malaria Sedunia dan Gotong Royong Mega Kebangsaan sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Dewan Masyarakat Manggatal.
Dzulkefly berkata selain faktor kitaran pusingan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesan peningkatan kes dipengaruhi perubahan subvarian virus denggi yang kini didominasi subvarian DEN-3.
Bagi mendepani cabaran itu, katanya, KKM memperkenalkan pendekatan strategik baru berasaskan pendekatan wawasan tingkah laku (BI) menerusi program Komuniti Bebas Denggi (Kombat).
Menurut Dzulkefly KKM membawa beberapa pendekatan perubahan inisiatif terutamanya dalam konteks hari ini menggunakan pendekatan BI yang merupakan ekonomi tingkah laku (behavioral economics) yang melihat perubahan manusia boleh didorong ke arah perubahan positif.
“Strategi dorongan menjadikan manusia itu dapat berubah. Dia tahu tapi dia tak nak berubah, jadi literasi sahaja tidak cukup.
“Kita izinkan bagaimana untuk mereka berubah dengan kerajaan sendiri, pusat dan juga kerajaan negeri memberikan pendekatan,” katanya.
Program Kombat berkenaan pula, katanya, bertumpu kepada tiga strategi utama iaitu intervensi persekitaran, pemerkasaan komuniti, serta penglibatan keseluruhan masyarakat termasuk pengukuhan pengawasan sains entomologi.
- Bernama
