PKR akan meletakkan calon di 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada 56 DUN Johor bagi pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata jumlah itu sudah dipersetujui oleh semua pimpinan parti dalam PH.
"Pengagihan kerusi dibuat berdasarkan persefahaman antara setiap parti komponen tanpa sebarang masalah... (macam) 56 kerusi (di Johor) dah sepakat, ada kerusi A kerusi B tapi 56 tu tak ada gaduh pun," katanya ketika sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.
Terdahulu Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merasmikan pasar raya baru dan Jualan Rahmah di Sungai Soi, Kuantan.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Aminuddin Harun, mengesahkan pembahagian kerusi untuk PRN Negeri Sembilan sudah dimuktamadkan.
Aminuddin yang juga pemangku Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, perbincangan pembahagian kerusi dalam DUN Negeri Sembilan memutuskan 16 kerusi ditandingi PKR, diikuti DAP 11 kerusi dan baki sembilan kerusi lagi ditandingi Amanah.
Untuk PRN Johor pula, proses pembahagian kerusi antara parti komponen PH juga sudah selesai dan hanya menunggu persetujuan rasmi Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, pula berkata pihaknya kini memberi tumpuan kepada gerak kerja jentera seluruh negeri bagi memastikan kemenangan kepada gabungan itu.
Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara berasingan.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun, berkata, bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai.
Untuk PRN Negeri Sembilan pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai manakala hari mengundi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos.
Sementara itu, ditanya mengenai pengaruh bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad serta kehadiran Bersama yang mengumumkan bakal meletakkan calon dalam PRN di kedua-dua negeri terbabit, Fuziah menjawab ia adalah proses biasa dalam demokrasi.
"Kita raikanlah demokrasi," katanya ringkas.
Dia juga menyifatkan kemunculan Parti Wawasan Negara akan menambahkan pilihan kepada pengundi.
"Apa yang penting ialah berkempen secara sihat, jangan memburukkan parti lain dan ceritalah apa kebaikan yang kita nak tawarkan," jelasnya.
