Hanya separuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahi Parlimen dari Umno di Kelantan yang dicalonkan semula untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Untuk kali ini, Umno Kelantan mengemukakan 70 peratus muka baru manakala semua calon yang kalah dalam pilihanraya umum lalu, tidak akan dicalonkan semula.

annuar musa "Calon yang sudah kalah dalam pilihanraya umum lalu baik kerusi Palimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan diberi tempat lagi," kata Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

"Bagaimanapun, tumpuan diberikan lebih kepada calon DUN kerana Umno mahu merampas pemerintahan kerajaan negeri dari PAS yang memerintah Kelantan sejak 17 tahun lalu.

"Lagi lama PAS memerintah, rakyat Kelantan akan semakin ketinggalan. Sekarangpun negeri ini menjadi negeri tercorot, bukan sahaja dengan Selangor, malah dengan Terengganu sekalipun.

"Manifesto kali ini ialah undi untuk Kelantan iaitu rakyat mengundi untuk perubahan dan pembangunan Kelantan supaya menjadi negeri yang dinamik," kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, ketika ditemui di ibu negara semalam.

PM lawat K'tan

Sebelum itu, Annuar merasmikan Forum Wilayah Ekonomi Pantai Timur Peluang dan Impak Kepada Rakyat Kelantan yang dihadiri oleh kira-kira 500 rakyat negeri itu yang berada di sekitar Lembah Klang termasuk ahli perniagaan, tokoh korporat dan cendekiawan.

Annuar berkata, Umno akan menampilkan muka baru dari pelbagai peringkat termasuk para intelektual dan bijak pandai yang diyakini dan boleh membawa kemajuan kepada Kelantan.

kelantan pas umno voters 140104 "Senarai calon Umno Kelantan telah dibuat sejak lapan bulan lalu. Bahagian yang mencadangkan nama-nama calon tersebut, tetapi saya yang memilihnya.

"Kita tidak mahu calon yang menjadi penumpang, kerana itu tidak ada lagi calon tangkap muat. Calon Umno kali ini dari pelbagai bidang, termasuk pegawai kerajaan negeri.

"Saya sendiri akan serahkan senarai calon ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) yang akan datang ke Kelantan untuk merasmikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) esok (hari ini).

"Ini senarai pilihan kedua, terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukannya," katanya.

Kekalkan program PAS

Annuar berkata, BN tidak akan membalas dendam ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS jika BN mengambilalih pemerintahan kerajaan negeri dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, tidak ada pegawai yang akan dizalimi, dipecat atau ditukar terhadap mana-mana ahli dan penyokong PAS.

"Malah, mana-mana program yang baik yang dibuat oleh kerajaan PAS sekarang, seperti skim insurans untuk warga emas, akan diteruskan dengan penambahbaikan supaya lebih sempurna," katanya lagi.

Sementara itu ketika berucap di forum tersebut, Annuar berkata, ada wakil rakyat Umno Kelantan yang memilih orangnya sahaja untuk menjadi calon pilihanraya.

"Bila kita minta senarai calon, mereka beri orang dia sahaja sedangkan ramai lagi orang yang lebih berkelayakan. Tidak boleh macam tu kerana orang marah kepada kita.

"Saya tahu, bila ketua tidak dipilih, mereka akan buat kacau. Sebab, itu kita pilih calon dengan berhati-hati. Bila bahagian hantar senarai kepada badan perhubungan, saya saring dan teliti sebelum dipilih," tambahnya.