Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jaga tutur kata, pesan Teo pada KP J-Kom
Diterbitkan:  Jun 15, 2026 1:37 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Semua pihak diingatkan tidak menggunakan bahasa kurang sopan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata demikian ketika mengulas kritikan terhadap Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohd Hisyamuddin Ghazali.

Terdahulu Hisyamuddin yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz terpalit kontroversi selepas menggelar bekas pengarah komunikasi strategik BN Eric See-To dan ahli perniagaan kontroversi Albert Tei sebagai “Cina sesat”.

“Nasihat untuk semua orang, janganlah guna pakai bahasa-bahasa yang tidak sopan dan kita elakkan semua isu-isu 3R bukan sahaja semasa kempen tetapi sepanjang masa,” dia dipetik sebagai berkata di Putrajaya.

Syam Ghaz

Teo berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus berkaitan dialog berkaitan keseimbangan antara penularan maklumat dan tanggungjawab dalam kewartawanan.

Selepas dituduh membuat kenyataan rasis terhadap masyarakat Cina, Hisyamuddin menjelaskan komen “Cina sesat” yang dibuatnya hanya ditujukan kepada See-To dan Tei.

Terdahulu, hantaran Hisyamuddin yang disunting dua kali bagi membuang perkataan “Cina” dan “balaci”, mengundang kecaman pelbagai pihak, termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Eric See-To

Hisyamuddin mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab memutar belit kenyataannya bagi memberi gambaran dia menyerang seluruh kaum Cina.

Sementara itu, Teo berkata dia belum lagi bertemu dengan Hisyamuddin bagi menyampaikan teguran itu.

Hisyamuddin dilantik sebagai ketua pengarah J-Kom pada 9 Jun, menggantikan Ismail Yusop atau Tok Abah yang menamatkan perkhidmatannya selepas lebih setahun menerajui agensi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS