Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPT pandang serius tuduhan Haim Hilman, teliti tindakan perundangan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius beberapa tuduhan tidak berasas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra Dr Haim Hilman Abdullah berkaitan sistem kemasukan ke Universiti Awam (UA) dan sedang meneliti prosedur perundangan sewajarnya.

Dalam kenyataan hari ini, KPT meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, UA dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas.

KPT memandang serius beberapa tuduhan yang terus diulang oleh Haim Hilman termasuk dakwaan kononnya UA pada masa kini sedang "menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit" dan wujud puluhan ribu pelajar memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui “pintu belakang”.

Terkini ialah rakaman video ucapan beliau yang disiarkan melalui Facebook sempena "Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan" yang berlangsung pada 13 Jun 2026.

“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk UA, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah.

“Perlu ditegaskan bahawa ini bukan kali pertama tuduhan sedemikian dilemparkan oleh Haim Hilman terhadap KPT,” menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan pihaknya sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta.

“Namun, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh,” menurut kenyataan itu.

KPT tidak akan membenarkan sebarang pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS