Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebuah kerusi Parlimen di Selangor dan Perak yang menjadi kubu kuat parti tersebut, dalam pilihanraya umum akan datang.

arutchelvan and psm Bagaimanapun, mereka akan bertanding di bawah lambang PKR kerana parti itu belum didaftarkan dan kerana itu tidak boleh meletakkan calon bertanding dalam pilihanraya umum.

Setiausaha Agung penaja PSM, S Arutchelvan mengesahkan bahawa beliau akan bertanding di DUN Semenyih manakala Presiden penaja PSM, Dr Nasir Hasir Hashim akan bertanding di kerusi DUN Kota Damansara.

Bagaimanapun, beliau memberitahu Malaysiakini Jumaat lalu bahawa rundingan antara PSM dan PKR mengenai kerusi Semenyih belum lagi selesai.

Katanya, ini ekoran PKR juga dikatakan bercadang untuk meletakkan Pengerusi PKR Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad bertanding di kerusi Semenyih.

Menurut Arutchelvan lagi, ahli jawatankuasa pusat PSM, Dr D Jeyakumar mungkin mencabar Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di Parlimen Sungai Siput di Perak, serta kerusi DUN Jalong.

Kerusi ganti

"(Jeyakumar) telah bekerja kuat di sana dan kami percayai beliau adalah calon paling sesuai untuk bertanding di kedua-dua kerusi tersebut.

"Seperti yang anda dapat lihat, kami telah memilih calon-calon kami berasaskan kepada kerja yang mereka lakukan dan bukannya atas asas bangsa," tegasnya.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan hari ini, Arutchelvan berkata, PSM akan menimbang menarik diri di Sungai Siput bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dengan DAP, sekiranya parti itu mahu meletakkan pemimpin utamanya di situ.

Sebagai gantinya, PSM mahu bertanding di tiga kerusi DUN - Buntong, Bercham dan Jelapang (semuanya dalam dan sekitar Ipoh, Perak).

PSM telah membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum, termasuk berkempen di kawasan-kawasan pilihanraya terpilih, melalui penyebaran risalah serta ceramah kecil-kecilan.

Tarikh pilihanraya umum belum lagi diumumkan, tetapi semua parti telah mempertingkatkan persediaan mereka untuk menghadap pilihanraya umum yang kemungkinan besar diadakan bulan depan.