Dakwaan 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam (UA) melalui pintu belakang adalah tuduhan berat yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata dakwaan tidak berasas itu bukan sahaja mencemarkan imej UA, malah mewujudkan persepsi buruk seolah-olah peluang pelajar yang layak telah dirampas demi kepentingan kewangan.
Zambry berkata naratif sedemikian memberikan implikasi besar terhadap kepercayaan masyarakat, khususnya ibu bapa dan pelajar yang sedang mengikuti proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Sistem kemasukan ke universiti awam di negara ini dilaksanakan melalui mekanisme jelas, telus dan berasaskan merit serta syarat kelayakan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata sekiranya benar terdapat puluhan ribu pelajar memasuki universiti melalui saluran tidak sah, pihak yang membuat tuduhan berkenaan perlu mengemukakan bukti dan fakta bagi menyokong dakwaan mereka.
Menurut beliau, tuduhan sebesar itu tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya kerana dalam dunia akademik, setiap angka disebut mesti mempunyai sumber, metodologi serta asas yang boleh diuji kebenarannya.
“Atas pertimbangan tersebut, beberapa universiti awam telah mengambil langkah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
"Tindakan ini bukan bertujuan menutup ruang kritikan atau menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan setiap tuduhan yang dilemparkan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan tuduhan tanpa asas kerana dalam dunia akademik, hujah mestilah dijawab dengan fakta, manakala analisis disokong data selain bukti yang kukuh.
Katanya pihak yang melemparkan tuduhan perlu bertanggungjawab sekiranya gagal mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong kenyataan yang telah dikeluarkan.
Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa bersikap terbuka terhadap teguran membina demi memperbaiki kelemahan sistem pendidikan negara, namun ia tidak bermakna tuduhan keterlaluan boleh dibiarkan tanpa sebarang asas.
“KPT akan terus mempertahankan integriti institusi pendidikan tinggi negara dan memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia tidak dicemarkan oleh dakwaan yang tidak berasas,” katanya.
- Bernama
