Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isma beri amaran: Jangan cuba hadkan sempadan dakwah Islam
Diterbitkan:  Jun 18, 2026 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menegaskan bahawa usaha dakwah Islam di negara ini tidak sepatutnya dihadkan atau ditentukan sempadannya oleh mana-mana pihak bukan Islam.

Presidennya, Shuhaib Selamat berkata, usaha tersebut merupakan tuntutan agama bagi bangsa majoriti rakyat di Malaysia dan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah tidak wajar mana-mana pihak yang tidak beragama Islam cuba menentukan sempadan atau menghadkan ruang dakwah Islam yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

“Isma menyeru semua ahli politik supaya menghentikan politik provokasi yang menyentuh kedudukan Islam dan institusi Islam demi meraih sokongan kelompok tertentu.

“Tindakan sedemikian tidak membawa manfaat kepada negara, malah berpotensi merosakkan keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi asas kestabilan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas pandangan Senator RA Lingeshwaran, yang sebelum ini menyatakan bahawa institusi pendidikan awam tidak boleh menjadi tempat penyebaran agama Islam, Shuhaib berkata, ini memperlihatkan kegagalan memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan serta realiti pembinaan negara Malaysia.

Jelasnya, bahawa universiti awam merupakan ekosistem pendidikan yang menyediakan ruang pembangunan intelektual, moral, dan kerohanian. Oleh itu, kewujudan pusat Islam, masjid, dan kuliah agama di kampus adalah perkara lazim.

Shuhaib turut menyatakan sokongan penuh Isma terhadap aktiviti dakwah yang digerakkan di IPTA, institusi kerajaan, sektor swasta, mahupun komuniti setempat.

Isu itu tercetus selepas poster bertajuk ‘Pendaftaran Saudara Baru (Mualaf)’ tular di media sosial menawarkan beberapa manfaat kepada pelajar yang memeluk Islam, termasuk mendapat yuran pengajian percuma.

Pada poster berkenaan tertera logo Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pusat Islam universiti itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, serta lambang Malaysia Madani.

Mahasiswa yang memeluk Islam juga ditawarkan bantuan kewangan serta boleh menyertai sesi perkongsian pengalaman bersama mualaf lain, selain mengajak mahasiswa bukan Islam yang berminat mendalami agama itu menyertai kelas bimbingan.

UPSI kemudian menjelaskan poster itu tidak pernah dibentangkan dan mendapat kelulusan pihak pengurusan universiti serta tidak pernah disebarkan menerusi mana-mana saluran rasmi universiti.

Bagaimanapun Lingeshwaran berkeras mahu perkara itu disiasat kerana mendakwa ia mencetuskan kebimbangan orang ramai dan menyentuh isu sensitif dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Sehubungan itu, Shuhaib memberi amaran kepada ahli politik, khususnya daripada DAP, agar tidak terus memainkan isu-isu berkaitan Islam secara tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.

“Kenyataan yang mempertikaikan aktiviti dakwah boleh mencetuskan ketegangan yang tidak diperlukan serta mengganggu keharmonian yang telah lama dipelihara dalam masyarakat majmuk negara ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS