Kerusi Kampar: Tan Sri Hew undur diri
Ahli Parlimen Kampar selama tiga penggal, Tan Sri Hew See Tong menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada bertanding dalam pilihanraya umum kali ini.
"Usia saya sudah mencecah 77 tahun ... oleh kerana itu saya rasa sudah sampai masanya saya bersara.
"Tambahan pula kita sudah ada kata sepakat bahawa calon yang lebih muda dan kuat bekerja dipilih untuk mengambil alih kerusi Kampar," katanya.
Ahli Parlimen Kampar selama tiga penggal, Tan Sri Hew See Tong menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada bertanding dalam pilihanraya umum kali ini.
"Usia saya sudah mencecah 77 tahun ... oleh kerana itu saya rasa sudah sampai masanya saya bersara.
"Tambahan pula kita sudah ada kata sepakat bahawa calon yang lebih muda dan kuat bekerja dipilih untuk mengambil alih kerusi Kampar," katanya.
Mengenai siapa yang bakal menggantikan beliau bagi mempertahankan kerusi MCA itu, Hew memberitahu Bernama bahawa beliau tidak tahu dan ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti.
"Saya tidak tahu. Mereka belum beritahu saya. Ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti," katanya.
Namun berdasarkan spekulasi, Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar, Datuk Lee Chee Leong yang juga Ketua MCA bahagian Kampar disebut-sebut untuk mengambil alih kerusi tersebut.
Pertahan kerusi
Hew, seorang pelombong bijih dan Penasihat MCA Perak menang kerusi tersebut setelah menewaskan calon DAP Chong Joon Kin pada pilihanraya umum 1995 dengan majoriti 14,163 undi.
Beliau sebelum itu tewas kepada calon DAP Wong Wing Onn dengan majoriti 312 undi dalam pilihanraya umum 1990.
Dalam pilihanraya umum 1999, beliau berjaya mempertahankan kerusinya dengan menewaskan calon DAP Loh Peng Lam dengan majoriti 7,463 undi.
Dalam pilihanraya umum 2004, beliau mempertahankan kerusinya buat penggal ketiga setelah menewaskan calon DAP Liew Ah Kim dengan majoriti 9,474 undi.
"Apa yang penting kali ini ialah Barisan Nasional merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri Keranji dari DAP. Kita yakin kita boleh mengekalkan kerusi Parlimen dan tiga kerusi negeri di dalam kawasan Parlimen ini," katanya.
Kawasan Parlimen Kampar mengandungi kerusi DUN Malim Nawar, Tualang Sekah dan Keranji.
Kampus sementara
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi Kampar yang telah memberi sokongan kepadanya selama ini dan berharap mereka terus menyokong calon Barisan Nasional pada pilihanraya umum kali ini.
Hew yang juga seorang dermawan telah menyewakan tujuh rumah kedai dan sebuah bangunan dua tingkat di Bandar Baru Kampar sebagai kampus sementara
Kolej Tuanku Abdul Rahman (TARC) cawangan Perak dengan kadar RM1 setahun.
Beliau juga menderma tanah seluas 20 hektar untuk pembinaan kampus tetap TARC di kawasan yang sama.
Hew pernah disingkir dari MCA pada 1981 oleh presiden parti ketika itu Datuk Lee San Choon.
Beliau kemudian menyertai Gerakan dan menyertai semula MCA pada 1988.

