Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Norway kemuka RUU sekat dagang dengan petempatan haram Israel
Diterbitkan:  Jun 20, 2026 8:26 AM
Dikemaskini: 12:26 AM

GLOBAL | Kementerian Luar Norway memaklumkan mereka sudah mengemukakan cadangan untuk meluluskan undang-undang melarang perdagangan dengan petempatan haram Israel di Tebing Barat, lapor Sputnik/ Ria Novosti.

Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, berkata warganegara dan syarikat Norway tidak boleh menyumbang kepada pengekalan petempatan haram hari ini.

“Kementerian Luar mengumumkan perundingan mengenai cadangan rang undang-undang (RUU) baru yang melarang perdagangan barangan yang dihasilkan di petempatan Israel di Palestin yang melanggar undang-undang antarabangsa," katanya.

RUU berkenaan merangkumi larangan terhadap import dan eksport barangan dari petempatan Israel di Tebing Barat, serta pembelian hartanah dan penyediaan perkhidmatan yang berkaitan dengan pembinaan serta penjualan hartanah.

Kementerian itu juga, kata Barth Eide, berhasrat untuk mengharamkan pembelian syarikat yang mempunyai ibu pejabat dan kemudahan pengeluaran yang terletak di petempatan Israel.

"Petempatan Israel di Palestin melanggar undang-undang antarabangsa.

“Kami berhasrat untuk melarang perdagangan dengan petempatan haram berkenaan.

“Dengan mencadangkan larangan yang mengikat secara sah, kerajaan menjelaskan bahawa warganegara dan syarikat Norway tidak boleh meraih keuntungan daripada atau menyokong aktiviti yang membantu mengekalkan aktiviti petempatan haram Israel di Palestin," katanya.

Aktiviti petempatan Israel di Tebing Barat kekal menjadi punca pertikaian utama antara komuniti antarabangsa dan Pihak Berkuasa Palestin.

Kegiatan berkenaan dianggap sebagai dasar Tel Avivi untuk mengukuhkan kedudukan rejim Zionis di wilayah Palestin.

- Bernama/Sputnik/Ria Novosti


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS