Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doktor, pegawai kanan LHDN antara 3 terbunuh di Pekan
Diterbitkan:  Jun 20, 2026 8:50 AM
Dikemaskini: 12:50 AM

Tiga termasuk seorang doktor meninggal dunia manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM 67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zain berkata kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu mengakibatkan dua pemandu kenderaan terkorban di tempat kejadian.

Mereka ialah Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, yang bertugas di Hospital Segamat, Johor; dan pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya, Selangor Azaharuddin Mohd Ali, 46.

Katanya anak Mohamad Zekry, Dhea Sofia, 2, pula meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chini.

Menurut Mohd Zaidi hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, kenderaan yang dipandu pegawai perubatan dan pegawai kanan LHDN itu dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

“Ketika di lokasi kejadian, sebuah pikap dari arah Kuantan menghala ke Muadzam Shah terlangar lopak air ketika cuba memotong sebuah lori menyebabkan ia hilang kawalan serta memasuki laluan bertentangan.

“Pikap tersebut kemudian bertembung dengan dua kenderaan terbabit,” katanya menerusi kenyataan media.

Mohd Zaidi berkata kemalangan itu turut mengakibatkan isteri, ibu dan bapa mentua Mohamad Zekry yang berada bersama di dalam kenderaan sama mengalami kecederaan.

Turut cedera, katanya, ialah penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu isteri dan anak lelaki Azaharuddin serta pemandu pikap berusia 31 tahun.

Mohd Zaidi berkata semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pekan.

“Mangsa yang meninggal dunia dalam nahas itu dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat,” katanya.

Menurut Mohd Zaidi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS