mk-logo
Berita
PRN: Putra belum dapat bincang dengan PN, kekal tak gelojoh
Diterbitkan:  Jun 20, 2026 11:11 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Putra belum dapat membuat sebarang ketetapan terkait penyertaan mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) sama ada di Johor atau Negeri Sembilan di sebalik rancangan awal parti itu.

Setiausaha Agung Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, berkata pada asalnya mereka mahu meletakkan calon di tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Johor dan empat di Negeri Sembilan.

Katanya, rancangan tersebut dibuat selepas Putra mengenal pasti ada potensi untuk mereka jika bertanding.

“Setakat ini, Putra masih belum berkesempatan berbincang dengan PN walaupun sudah menghubungi pimpinan mereka.

“Putra mengambil maklum krisis yang sedang berlaku antara PAS dan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nasrul Ali, Putra juga mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan berhubung penyertaan mereka dalam PRN di dua negeri berkenaan.

Misalnya, kata Nasrul Ali, penyertaan banyak parti.

“Putra tidak mahu dilabel sebagai punca pemecah undi Melayu yang sebenarnya bercanggah dengan matlamat penyatuan ummah.

“Putra berpegang kuat pada prinsip bertindak dan melaksanakan apa jua keputusan seperti apa yang ditetapkan, bukan cakap lain tapi buat lain,” katanya.

Selain itu tambah Nasrul Ali Putra turut melihat aspek boleh menang serta keupayaan bertanding dan penerimaan pengundi.

“Keputusan bertanding atau tidak di Negeri Sembilan juga bergantung kepada kajian impak PRN Johor, terutama kesan pecah undi yang berlaku akibat pertandingan banyak penjuru, dan sikap rakyat terhadap isu-isu semasa,” katanya.

Untuk rekod sejak ditubuhkan pada 2018, Putra terlibat dalam dua pilihan raya, iaitu di PRN Melaka (2021) dan PRU ke-15 (2022).

Bagaimanapun penyertaan mereka itu tidak memberi banyak kesan apabila kalah semuanya.

Kali ini Putra menjalin kerjasama dengan blok pembangkang utama – PN – yang sedang berdepan dengan kemelut dalaman ekoran perseteruan di antara dua parti utamanya iaitu PASS dan Bersatu.

Nasrul Ali berkata penyertaan Putra kali ini adalah melalui kerjasama dan PN bersedia untuk mengadakan perbincangan mengenainya.

Untuk PRN Johor, katanya, keputusan muktamad akan dibuat pada 24 Jun ini.

“Putra kekal istiqamah sebagai parti yang tidak gelojoh, mengawal nafsu dan tahu mengukur baju di badan sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS