Naratif bahawa hanya seorang individu sahaja layak menjadi perdana menteri merupakan pemikiran yang tidak sihat untuk demokrasi.
Malaysia bukan negara yang bergantung kepada seorang tokoh. Negara ini memiliki ramai pemimpin, teknokrat, ahli akademik, pentadbir, tokoh korporat dan negarawan yang berwibawa untuk memimpin.
Jika ukuran kelayakan hanya berdasarkan kebolehan berpidato, berhujah atau menarik sokongan massa, ramai tokoh lain juga memiliki keupayaan yang sama. Malah, sejarah membuktikan bahawa pidato yang hebat tidak semestinya menjamin pentadbiran yang berkesan.
Seorang perdana menteri dinilai bukan sekadar melalui retorik, tetapi berdasarkan kebijaksanaan membentuk pasukan, keupayaan membuat keputusan yang sukar, rekod tadbir urus, kemampuan mengurus ekonomi, integriti serta kebolehan menyatukan rakyat yang pelbagai.
Hakikatnya, sesebuah negara tidak ditadbir oleh seorang individu secara bersendirian. Kejayaan sesebuah kerajaan bergantung kepada kekuatan keseluruhan pasukan kepimpinan yang merangkumi jemaah menteri, penjawat awam, pakar ekonomi, institusi penguat kuasa dan pelbagai agensi pelaksana.
Justeru, persoalan yang lebih penting bukanlah siapakah tokoh paling popular, tetapi sejauh mana beliau mampu membina pasukan yang kompeten, berintegriti dan berorientasikan penyelesaian.
Malaysia memerlukan pemimpin yang kurang “bising” pada kata-katanya, tetapi lebih “bising” pada hasil kerjanya.
Rakyat semakin penat dengan politik retorik, polemik yang berpanjangan dan perdebatan yang tidak berkesudahan. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang bekerja secara tenang tetapi berkesan; yang mengutamakan dasar berbanding drama, prestasi berbanding persepsi, dan penyelesaian berbanding slogan.
Dalam sistem demokrasi berparlimen, kepimpinan tidak boleh dibina atas kultus individu atau persepsi bahawa negara akan lumpuh tanpa seseorang. Institusi yang kukuh sentiasa lebih penting daripada kebergantungan kepada seorang tokoh.
Sebelum Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, Malaysia dipimpin oleh pelbagai tokoh dengan latar belakang, gaya dan kekuatan yang berbeza. Setiap era melahirkan pemimpin yang sesuai dengan cabaran zamannya.
Budaya angkat tokoh
Justeru, tidak wajar kita menafikan kewujudan ramai lagi pemimpin yang berpotensi untuk memimpin negara.
Sudah tiba masanya politik Malaysia beralih daripada budaya mengangkat seorang tokoh kepada pembinaan pasukan kepimpinan yang kolektif, cekap dan saling melengkapi.
Masa depan negara tidak seharusnya ditentukan oleh seorang individu, tetapi oleh keupayaan sebuah pasukan untuk merancang, melaksana dan menyelesaikan masalah rakyat secara berkesan.
Malaysia memerlukan generasi kepimpinan baharu yang segar pemikirannya, bebas daripada beban perseteruan silam dan tidak terikat dengan dendam politik masa lalu.
Negara ini memerlukan tokoh yang memandang ke hadapan, bukannya terus terperangkap dalam pertikaian lama.
Demokrasi yang matang tidak bertanya, “Siapa satu-satunya individu yang layak?”
Sebaliknya, demokrasi yang sihat bertanya, “Siapakah yang paling mampu membawa penyelesaian terbaik untuk rakyat pada waktu ini?”
Kerana akhirnya, rakyat tidak memilih seorang wira. Rakyat memilih sebuah pasukan yang mampu membina masa depan Malaysia.
Maka dalam setiap pilihan raya, termasuk pilihan raya negeri yang bakal berlangsung, rakyat perlu menilai kekuatan keseluruhan pasukan, bukan sekadar ketokohan individu.
Reformasi tidak akan berjaya jika hanya seorang pemimpin yang baik, sedangkan pasukannya lemah, tidak kompeten atau rosak integritinya.
Sesebuah negara hanya mampu maju apabila dipimpin oleh pasukan yang mempunyai visi yang jelas, keupayaan untuk melaksana serta keberanian untuk melakukan perubahan.
Malaysia tidak memerlukan seorang adiwira.
Malaysia memerlukan pasukan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depannya, mengembalikan negara ke landasan yang tepat serta membina sebuah negara bangsa yang terus maju tanpa kehilangan jati diri, identiti dan nilai-nilai asas yang membentuknya.
Kerana kekuatan sesebuah negara tidak terletak pada kehebatan seorang individu, tetapi pada keupayaan institusinya, kekuatan pasukannya dan kebijaksanaan rakyat dalam memilih pemimpin.
MOHAMED SUKRI OMAR adalah ketua Pemuda PAS Selangor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
