Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Johor dibocorkan Putrajaya': Pua persoal peranan raja dalam politik
Diterbitkan:  Jun 22, 2026 4:35 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Pengerusi jawatankuasa disiplin DAP Tony Pua membangkitkan satu soalan sambil tertanya-tanya jika soalan itu boleh menyebabkannya berdepan masalah di bawah Akta Hasutan.

Walaupun dia tidak menyebut sebarang nama, persoalan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail, yang antara lain berkata bahawa “kebocoran kewangan tidak membelenggu negeri itu, sebaliknya kerajaan Persekutuan yang bocorkan negeri itu”.

"Apabila anggota kanan kerabat raja terlibat secara terbuka dan langsung (atau tidak langsung) dengan politik dan kempen politik, mempamerkan berat sebelah dan memihak, adakah mereka tidak mendedahkan diri kepada sanggahan dan bidasan?" soal Pua dalam hantaran ringkas di Facebook.

"Dalam kes sedemikian, adakah anggota kerabat raja ini tidak boleh dicela? Adakah Akta Hasutan masih terpakai?" tambahnya.

Pua, bekas anggota parlimen, tidak asing dalam mencetuskan kontroversi melibatkan kerabat raja, selepas baru-baru ini disiasat polis susulan lambakan laporan yang dibuat terhadapnya kerana menyatakan bahawa sistem perlembagaan mengikat raja-raja Melayu dan baginda tidak boleh mengeluarkan titah yang mengikat untuk menggubal undang-undang dalam semua aspek kehidupan rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah

Kenyataannya dibuat susulan saranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencadangkan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas Adun Sungai Pelek Ronnie Liu untuk melawat Dataran Selangor dan memahami prinsip Rukun Negara yang dipamerkan pada plak monumen di situ.

Sementara itu, kenyataan terbaru Tunku Ismail dibuat sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa Johor ialah sebuah negeri kaya yang menghadapi masalah kebocoran.

Pemangku sultan itu menggesa kerajaan persekutuan memulangkan sekurang-kurangnya ssatu perempat daripada hasil yang dipungut dari negeri berkenaan.

Tunku Ismail

"Apabila kita memberi hasil negeri kita lebih RM40 bilion setahun dan dipulangkan hanya RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk menjaga 4.9 juta rakyat Johor, bagaimana?

“Benda itu tidak logik.

"Ya, memang banyak 'bocor'. Kerajaan Persekutuan yang 'bocorkan' Johor," titah baginda.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut membangkitkan isu kelewatan beberapa projek kesihatan utama di Johor, termasuk Hospital Pasir Gudang, yang menurutnya diselamatkan daripada kemungkinan pembatalan susulan campur tangan baginda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS