Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS rela lemahkah pembangkang demi ego pemimpin, kata Urimai
Diterbitkan:  Jun 23, 2026 10:00 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berpendapat PAS wajar diberi penghargaan kerana ‘jasa’ parti itu terhadap PN yang dikuasai parti tersebut.

Presiden Urimai, P Ramasamy, berkata tindakan PAS dalam PN itu bukan saja tidak demokratik, malah juga dibuat dengan harga yang sangat mahal sehingga menjejaskan blok pembangkang yang masih muda.

Merujuk kepada mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Kuala Lumpur malam tadi, Ramasamy berkata, PAS – yang kini menguasai gabungan pembangkang tersebut – membiarkan nasib Bersatu tergantung tanpa kepastian.

Katanya, memandangkan keretakan yang semakin melebar di antara PAS dan Bersatu, mesyuarat tergempar PN itu dijangka memberi tumpuan kepada masa depan gabungan tersebut.

Namun, kata bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mewakili DAP itu, mesyuarat dalam suasana luar biasa itu berlangsung secara hambar dan menumpukan kepada kemasukan dua ahli baru iaitu Pejuang dan Parti Cinta Malaysia yang kini dijenamakan sebagai Parti Wawasan Nasional.

“Perbincangan mengenai nasib Bersatu ditangguhkan ke satu tarikh yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ramasamy, mungkin PAS sedar berkonfrontasi dengan Bersatu ketika ini bukanlah pilihan yang bijak di sebalik tindakan berani mereka memutuskan hubungan dengan parti tersebut, serta menyingkir pemimpin mereka.

PAS juga, kata Ramasamy, mungkin menyedari Bersatu datang ke lokasi mesyuarat malam tadi – di Ibu Pejabat PAS – dengan persediaan yang cukup untuk ‘bertarung’ jika ada usaha untuk menyingkirkan mereka dari PN.

Kini, kata Ramasamy, dengan kemasukan Pejuang dan Wawasan – yang sebahagiannya mungkin lebih cenderung menyebelahi PAS – Bersatu akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan kekuatannya dalam PN.

“Akhirnya, PAS mungkin berjaya mengukuhkan kawalannya ke atas PN, tetapi dengan harga yang mahal iaitu melemahkan gabungan pembangkang itu sendiri.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, PH dan BN mungkin sedang tersenyum lebar menjelang pilihan raya memandangkan keadaan kucar-kacir yang semakin ketara dalam pembangkang.

“PAS wajar diberi ‘penghargaan’ yang jarang diberikan kerana berjaya melemahkan barisan pembangkang semata-mata untuk memenuhi ego para pemimpin mereka,” katanya.

Pada masa sama, kata Ramasamy, Urimai yakin Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mempunyai alternatif dan sedang mencatur perkiraan untuk mengatasi kebuntuan dalam PN.

Malah, katanya, Ahli Parlimen Pagoh itu menunjukkan pandangan jauh apabila melancarkan gabungan yang lebih besar, iaitu Ikatan Prihati Rakyat (IPR), yang turut dianggotai Urimai.

“Semakin kuat PAS menolak Bersatu ke sudut yang sempit, semakin pantas dan lebih besar tindak balas yang mungkin berlaku,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS