Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq balas sindiran 'Hollywood' TMJ dengan 'kerja sambilan'
Diterbitkan:  Jun 22, 2026 11:33 PM
Dikemaskini: Jun 23, 2026 8:51 AM
1

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat membalas kritikan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berhubung gelaran "paling Hollywood" kerana lebih mengutamakan lakonan di media sosial berbanding tanggungjawab hakiki dengan mendedahkan "kerja sambilan" diperolehinya.

"Dapat kerja sambilan/shooting baru lagi. Saya sumbangkan terus RM115,000 ke Muar," tulisnya di media sosialnya.

Ahli Parlimen Muar itu mendedahkan bahawa dia juga telah membeli 1,000 bakul makanan dan 30 komputer riba untuk kawasan parlimennya di Johor.

"Dari pagi hingga petang di Parlimen, malam pula sambung kerja sambilan," selorohnya.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan berkata bahawa baginda lebih menggemari pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab mereka dan menunjukkan keprihatinan yang tulen terhadap kebajikan rakyat.

Tunku Mahkota Ismail

"Sebelum membuat sebarang keputusan, buat penilaian terlebih dahulu kerana kita mempunyai ramai golongan 'Hollywood' dalam kalangan kita. Yang paling 'Hollywood' sekali adalah yang berada di Muar," titah baginda, tanpa menyebut nama Syed Saddiq.

Sambil menegaskan baginda tidak menyukai "Hollywood", Tunku Ismail bertitah baginda lebih mengutamakan individu yang menjalankan tugas dengan ikhlas dan memberikan tumpuan penuh kepada kebajikan rakyat.

Pemangku Sultan Johor itu turut mengulas mengenai trend semasa di mana golongan muda semakin tertarik kepada tokoh-tokoh populis.

"Seketika ini, kita juga ada trend di mana orang muda lebih meminati golongan populis yang suka berlakon di media sosial, dan sebagainya.

"Jika mahu bercakap mengenai sumbangan, anda boleh cari sendiri, buat kajian sendiri, jangan hanya dengar kata-kata saya sahaja," titah baginda.

Tunku Ismail turut menyatakan bahawa keluarga diraja Johor menyumbang lebih daripada RM100 million setiap tahun kepada pelbagai inisiatif kebajikan, yang menurut baginda, tidak dihebohkan kepada umum.

"Lebih RM100 juta setahun - peralatan hospital, bantuan hospital, pendidikan, bantuan kewangan kepada golongan miskin, termasuk makanan. Ia juga merangkumi individu yang menunaikan fardu haji.

"Tetapi anda tidak melihat kami menghebohkannya di media sosial kerana amalan tersebut dilakukan atas dasar keikhlasan," titah baginda.

Bagaimanapun, baginda mengakui bahawa ahli politik mungkin perlu mengekalkan kehadiran di media sosial untuk berinteraksi dengan orang ramai dan memaparkan hasil kerja mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS