Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik secara terbuka menyahut pelawaan untuk berdebat dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Maszlee, yang diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Puteri Wangsa pada PRN itu, berkata keputusan dibuat atas dasar menghormati demokrasi serta kepercayaan bahawa ruang perdebatan boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kematangan politik dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata pelawaan berkenaan mendapat perhatian ramai dengan pelbagai pihak menghubunginya bagi mendapatkan pengesahan berhubung penyertaannya dalam debat tersebut.
“Dengan segala rasa rendah diri dan hormat, serta berpijak di atas latar dan prinsip demokrasi, saya menerima pelawaan atau cabaran ini.
“Insya-Allah kita bersama-sama menjadikan ruang debat atau dialog ini sebagai wahana untuk mendidik rakyat dan menjulang budaya politik matang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Cadangan penganjuran ‘Debat Perdana PRN Johor’ yang dilihat berpotensi menjadi antara tumpuan menjelang PRN Johor itu dicetuskan pempengaruh Muhamad Harris Nasril dan turut dikongsi di laman Facebook Redaksi.com, selepas Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengumumkan kesemua 56 calon mewakili PH, di Muar, semalam.

Poster tersebut menampilkan imej janaan AI yang menunjukkan pertembungan antara Maszlee dengan Onn, serta teks “Debat Perdana PRN Johor” bersama logo PH dan BN, menjadikannya kelihatan seperti promosi rasmi.
Bekas anggota parlimen Simpang Renggam itu juga secara berseloroh mengucapkan terima kasih kepada Muhamad Harris yang menghasilkan poster tersebut kerana “memberinya lebih banyak rambut”.
Bagaimanapun, ketika dihubungi, Harris menjelaskan bahawa sebenarnya tiada sebarang cabaran debat daripada Onn, yang juga adalah pengerusi BN Johor dan penyandang kerusi Machap.
Sebaliknya, Harris memberitahu Malaysiakini bahawa dia merupakan individu yang mengutarakan idea debat itu dalam satu hantaran di Facebook pagi tadi bersama poster berkenaan, dengan harapan ada penganjur yang akan mengendalikan debat antara kedua-dua ahli politik tersebut.
“Tiada penganjur (debat). Saya membangkitkan idea bahawa mereka berdua patut berdebat.
“Saya tidak menyangka Maszlee akan menyahutnya,” katanya ketika dihubungi.
Johor dijangka menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru pada 11 Julai apabila BN dan PH bertembung di kesemua 56 kerusi, manakala ketidaktentuan menyelubungi Perikatan Nasional selepas PAS menamatkan hubungan politik dengan Bersatu.
Pada PRN kali ini, PH mempertaruhkan 20 calon mewakili PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.
