Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng, isteri akan dibicarakan berhubung kes rasuah RM1.16 juta

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew serta ahli perniagaan, Phang Li Koon akan dibicarakan atas pertuduhan rasuah yang berkaitan dengan projek asrama pekerja asing bernilai RM1.16 juta.

Keputusan itu dibuat selepas panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Azman Abdullah sebulat suara menolak rayuan ketiga-tiga tertuduh berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang sebelum ini menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan tersebut.

Panel hakim memutuskan bahawa pertuduhan baru ini, walaupun daripada siasatan yang sama dan pernah membawa kepada pendakwaan serta pembebasan Lim sebelum ini, tidak boleh dianggap sebagai pendakwaan semula untuk kesalahan yang sama.

Justeru, panel hakim memutuskan bahawa pertuduhan ini tidak melanggar prinsip Perlembagaan double jeopardy (tidak boleh dibicarakan dua kali bagi kesalahan yang sama) kerana pertuduhan sekarang berbeza dari segi undang-undang dan fakta berbanding kes terdahulu yang melibatkan pembelian sebuah banglo.

Keputusan yang dibacakan oleh Hakim Noorin Badaruddin turut menyatakan bahawa walaupun terdapat pertindihan dalam siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kedua-dua kes, ia tidak bermaksud kedua-dua pertuduhan adalah kesalahan yang sama.

"Larangan di bawah Perlembagaan adalah terhadap perbicaraan kali kedua bagi kesalahan yang sama, bukannya terhadap perbicaraan kedua yang timbul daripada siasatan yang sama.

"Memandangkan pertuduhan semasa tidak sama daripada segi undang-undang mahupun fakta dengan pertuduhan terdahulu, pembelaan autrefois acquit (telah dilepaskan sebelum ini) dan autrefois convict (telah disabitkan sebelum ini) tidak boleh diterima," kata Noorin.

Selain Azman dan Noorin, panel hakim turut terdiri daripada hakim Radzi Abdul Hamid.

Mereka turut menolak hujah ketiga-tiga perayu yang bergantung kepada doktrin estoppel dan res judicata.

Mahkamah memutuskan bahawa walaupun Lim telah dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan terdahulu dalam kes pembelian banglo berkenaan, tiada sebarang penentuan kehakiman dibuat berhubung isu projek asrama pekerja asing.

Panel itu juga menolak hujah pihak pendakwaan yang bergantung kepada alasan di sebalik pembebasan Lim dalam kes terdahulu, dengan menyatakan bahawa alasan tersebut bukan merupakan dapatan kehakiman dan tidak menghalang pendakwaan baru yang melibatkan kesalahan berbeza serta disokong oleh keterangan yang berlainan.

Dalam masa sama, hakim mengingatkan pendakwaan supaya tidak mengasingkan kes daripada siasatan yang sama kerana ia boleh memberi tanggapan bahawa seseorang itu dibicarakan berulang kali menggunakan maklumat yang sama.

Bagaimanapun, Noorin menegaskan bahawa Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 302 Kanun Tatacara Jenayah tidak menghalang seseorang daripada dibicarakan semula sekiranya pertuduhan yang dikenakan adalah berbeza daripada segi undang-undang dan fakta.

Panel hakim turut menetapkan 3 Julai sebagai tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang.

Sementara itu, peguam Lim, RSN Nayer, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa pihaknya akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat hari ini.

Lim didakwa dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada 11 Ogos 2020 kerana menyalahgunakan jawatannya untuk mendapatkan ganjaran berjumlah RM372,009 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa bagi memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd diberi peluang untuk mengemukakan cadangan projek “kampung pekerja” di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah, dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, yang bernilai RM11.61 juta.

Phang pula didakwa bersubahat dengan Lim dalam melakukan kesalahan tersebut di tempat dan tarikh yang sama.

Betty Chew pula didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram kerana menerima RM87,009, RM180,000 dan RM105,000 yang didakwa hasil daripada aktiviti haram, daripada Excel Property Management & Consultancy, yang dimasukkan ke akaun Public Bank miliknya.

Ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan pada 26 Mei 2023 dengan alasan pihak pendakwaan menggunakan bukti daripada kes terdahulu, iaitu kes pembelian banglo di Jalan Pinhorn, walaupun Lim telah dibebaskan sepenuhnya pada tahun 2018.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan tersebut pada 3 Mei 2024, yang membawa kepada prosiding hari ini.

Selain kes ini, Lim juga sedang berdepan satu lagi perbicaraan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS