Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan bagi menggantikan Peter Cklamovski.
FAM dalam kenyataan yang disiarkan di laman webnya berkata, pelantikan Tan Cheng Hoe dibuat selepas mengambil kira pengalaman, rekod pencapaian serta pemahaman mendalamnya terhadap landskap bola sepak negara.
"FAM berharap pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan akan kembali memberi suntikan baru kepada Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan di peringkat Asia dan antarabangsa.
"Malah, FAM yakin pengalaman, kepakaran dan pengetahuannya mengenai bola sepak tempatan akan menjadi aset penting dalam usaha memperkukuhkan prestasi skuad Harimau Malaya," menurut kenyataan badan induk bola sepak negara itu.
Tan Cheng Hoe merupakan antara jurulatih tempatan paling berpengalaman dengan rekod membimbing skuad kebangsaan di pelbagai peringkat sejak 2005.
Dia pernah menjadi Penolong Jurulatih Harimau Malaya sebelum dilantik sebagai Ketua Jurulatih dari 2017 hingga 2021.

Antara pencapaian terbaiknya ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 sebagai pembantu jurulatih, dan membawa Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.
Di peringkat domestik, dia membawa Kedah menjuarai Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017, selain pernah membimbing Selangor dan kelab Thailand, Police Tero FC.
Pada April 2025, Tan Cheng Hoe dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan sebelum diberi tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya.
