Polis Kontinjen Johor mengesahkan telah menerima 153 laporan polis di seluruh negara setakat petang ini berhubung kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa terdapat campur tangan pihak Istana dalam pembubaran Dewan Negeri Johor.
Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad (gambar bawah) berkata, laporan tersebut diterima daripada pelbagai pihak termasuk bekas Exco Kerajaan Negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor.
"Setakat jam 3.00 petang, sebanyak 153 laporan polis telah diterima di seluruh Malaysia dan pihak polis menjangkakan jumlah laporan ini akan terus meningkat.
"Siasatan sedang dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, hukuman jika disabitkan kesalahan kali pertama ialah denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan berikutnya boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun.
Bagi Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pula iaitu mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, jika disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan tidak membuat sebarang komen atau spekulasi yang boleh menimbulkan kegelisahan awam.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan yang melanggar undang-undang, katanya.
Terdahulu, Puad Zarkashi yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengumumkan keluar parti serta-merta hari ini.
- Bernama
