Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa polis tak jadi pulangkan dekoder CCTV Albert Tei?'
Diterbitkan:  Jun 26, 2026 11:48 AM
Dikemaskini: 4:21 AM

Peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei mempersoalkan tindakan polis yang didakwa menarik balik keputusan untuk memulangkan dekoder CCTV yang dirampas semasa serbuan SPRM di rumahnya pada November 2025, kurang 24 jam sebelum Tei dijadualkan mengambilnya daripada pihak polis semalam.

Mahajoth Singh dan Zaid Malek berkata peranti itu sebaliknya dipulangkan kepada SPRM, yang merupakan subjek siasatan polis yang kini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Tei dan isterinya membuat laporan polis mendakwa SPRM menggunakan kekerasan melampau semasa serbuan itu, dan mengumumkan secara terbuka pada Selasa bahawa dia akan memainkan semula rakaman tersebut kepada media serta-merta selepas mengambil balik dekoder itu.

“Kami hanya boleh membuat kesimpulan bahawa keputusan ini bersandarkan semata-mata kepada fakta bahawa anak guam kami berhasrat untuk memeriksa sendiri dekoder itu dan berkongsi kandungannya dengan orang awam,” kata mereka berdua.

Mereka menegaskan bahawa bahan bukti utama kini berada dalam tahanan agensi yang sedang disiasat itu sendiri.

Malaysiakini telah menghubungi polis Sepang untuk mendapatkan komen.

Terdahulu, Tei mendakwa dekoder itu mempunyai bukti rakaman bahawa pegawai SPRM mengacukan pistol ke arah Tei dan isterinya, Lee Pei Rie, semasa serbuan di rumahnya pada 28 November lalu.

Ketua pesuruhjaya SPRM sebelum ini Azam Baki menafikan dakwaan penggunaan pistol itu.

Dalam kenyataan semalam, Zaid dan Mahajoth mempersoalkan kepada dekoder itu diberikan kepada SPRM.

“Peristiwa dalam tempoh 24 jam yang lalu adalah membingungkan dan amat membimbangkan. 

“Pihak polis mesti menjelaskan mengapa mereka secara tiba-tiba mengubah fikiran mengenai pemulangan dekoder tersebut. 

“Jika perkara itu memandangkan diklasifikasikan sebagai NFA, tiada justifikasi untuk terus menahan dekoder tersebut,” kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS