Parti Bersama Malaysia (Bersama) semalam mengumumkan senarai 15 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, terdiri daripada muka baru serta sekurang-kurangnya tiga bekas ahli PKR. Kesemua mereka sebelum ini telah mengemukakan permohonan secara dalam talian untuk menyertai PRN tersebut.
Penyokong Bersama, khususnya dari Johor, berkumpul di Johor Bahru bagi menyaksikan penampilan sulung parti itu dalam pilihan raya, 40 hari selepas penubuhannya oleh bekas menteri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam ucapan pelancaran, Nik Nazmi mengimbau pengalaman pertamanya sebagai calon PKR pada Pilihan Raya 2008 di kerusi DUN Seri Setia, Selangor, ketika masih baru dalam politik, namun berjaya memenangi kerusi tersebut hasil gelombang perubahan politik ketika itu.
Sementara itu, Rafizi yang juga bekas timbalan presiden PKR berkata kemenangan seorang saja calon Bersama untuk menjadi wakil rakyat di Johor sudah cukup berbaloi dan merupakan satu "keajaiban" untuk parti itu.
Daripada 15 calon yang diumumkan, sebahagian besar akan bertanding di kerusi separa bandar. Antara yang diketengahkan termasuk bekas calon PKR bagi DUN Larkin pada PRN 2022, Dr Zamil Najwah Arbain, yang kali ini bertanding di Permas.
Presiden Bersama, Syukri Razab, yang mengumumkan senarai calon, turut memperkenalkan calon DUN Larkin, bekas diplomat Norsinah Abu, yang disifatkan sebagai antara individu rapat dengan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir. Manakala calon bagi DUN Stulang, Stanley Tan, pernah berkhidmat di pusat khidmat PKR Johor Bahru.
Calon termuda parti itu ialah Aidil Riduan Yusof, 28, yang akan bertanding di DUN Bukit Permai, manakala aktivis masyarakat, Abdul Hamid Ali, antara calon paling berusia, akan bertanding di DUN Mahkota.
SENARAI PENUH CALON
N14 Bukit Naning – Iskandar Md Alias
N29 Mahkota – Abdul Hamid Ali
N40 Tiram – Dr Harith Fakhrudin Malik
N41 Puteri Wangsa – Nicholas Paul Vincent
N42 Johor Jaya – Lau Yi Leong
N43 Permas – Dr Zamil Najwah Arbain
N44 Larkin – Norsinah Abu
N45 Stulang – Stanley Tan
N46 Perling – Boo Wei Han
N47 Kempas – Salamah Hafifi Yusnaieny
N48 Skudai – Eugene Chua
N49 Kota Iskandar – Sahrudin Omar
N50 Bukit Permai – Aidil Riduan Yusof
N51 Bukit Batu – Tamili Gopalakrishnan
N52 Senai – Tew Chian How
