Antara ciri unik politik Malaysia adalah laporan polis seringkali mendominasi wacana dan perbahasan politik. Apabila laporan polis dibuat tidak dapat tidak institusi polis pasti akan turut terlibat untuk menyiasat laporan tersebut sekali gus sumber dan tenaga polis terpaksa dialihkan kepada tugas hakiki mereka.
Baru-baru ini Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah telah didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, atas pertuduhan berkaitan kenyataannya mengenai dakwaan kewujudan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).
Sebelum itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata polis menerima 15 laporan berhubung kenyataan yang didakwa dibuat Haim Hilman dalam satu program di Seremban, Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.
Sebagai mantan peguam, saya sendiri pernah mengendalikan kes anakguam yang mempunyai ratusan sehingga hampir mencecah ribuan laporan polis ke atasnya. Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata dakwaan exco Kedah itu tidak berasas dan ia adalah suatu tuduhan yang berat yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara.

Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim juga menepis dakwaan Exco Kedah tersebut di Parlimen. Secara jujur saya tidak pasti sama ada kenyataan exco Kedah itu benar atau fitnah namun exco terbabit adalah merupakan mantan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) serta pernah terlibat dalam hal ehwal akademik di peringkat universiti.
Oleh itu para penyokong beliau sudah tentu berhujah kenyataan beliau perlu diambil berat dan tidak diketepikan begitu sahaja kerana sebagai mantan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) serta pernah terlibat dalam hal ehwal akademik di peringkat universiti beliau ada kelayakan untuk berkata begitu. Jujurnya bagi saya ada merit terhadap hujah tersebut.
Apapun, saya berpegang kepada hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi. Oleh itu saya amat tidak bersetuju pendakwaan di mahkamah dibuat ke atas mana-mana individu yang melaksanakan hak kebebasan bersuara dalam sesuatu isu.

Bagi saya dalam konteks politik ruang kebebasan bersuara sewajarnya diberikan lebih luas oleh itu sebarang sekatan ke atas hak bersuara itu tidak sepatutnya direncatkan melalui fenomena laporan polis dan pendakwaan di Mahkamah.
Dalam konteks kes yang melibatkan Exco Kedah tersebut penafian pihak Kerajaan sepatutnya sudah mencukupi dan laporan polis apatah lagi pendakwaan ke atas Exco Kedah tersebut amat tidak perlu.
Adakah Kerajaan merasakan penafian sahaja tidak mencukupi dan tidak begitu berkesan? Adakah pendakwaan tersebut bertujuan untuk memberi isyarat kepada rakyat untuk berdiam diri dari mengeluarkan pendapat ? Dan adakah itu selaras dengan laungan reformasi?
Mungkin lebih elok sekiranya respons pihak kerajaan terhadap dakwaan exco berkenaan dibuat melalui platform lain seperti perdebatan terbuka berkenaan isu tersebut dan berikan peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat dari dua saluran yang berbeza dan akhirnya membuat penilaian yang sewajarnya.
Bagi saya budaya membuat laporan polis hanya kerana kenyataan seorang ahli politik itu tidak dipersetujui oleh musuh politik bukanlah budaya politik yang maju dan matang. Mungkin politik usang itu sudah tidak sesuai di zaman langit terbuka ini. Kebebasan bersuara ibarat menuntut kita membenarkan seseorang itu menyanyi walaupun lagu dan irama yang dinyanyikan itu kelihatan begitu sumbang!
MOHAMED HANIPA MAIDIN mantan timbalan menteri undang- undang dan juga mantan peguam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
