Paling Popular
Terkini

PRN JOHOR | Walaupun tidak mendapat bantuan jentera daripada parti komponen sendiri, Bersatu Johor yakin mereka masih mampu mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong apabila pengundian dijalankan pada 11 Julai ini.

Calon Bersatu, Dr Sahruddin Jamal, berkata dia mempunyai keyakinan tinggi bahawa jentera dan pengundi PAS di kawasan Bukit Kepong tetap akan memberikan sokongan padu kepadanya atas dasar semangat setiakawan yang utuh.

Malah, mantan Menteri Besar Johor itu mendakwa dia ada hubungan yang akrab dengan PAS negeri dan ia menjadi faktor bonus untuk Bersatu bergerak dengan lancar semasa berkempen.

"Setakat ini alhamdulillah, hubungan kami sangat baik.

“Kebetulan Pesuruhjaya PAS Johor (Mahfodz Mohamed) sekampung dengan saya, maka saya cukup yakin hubungan itu tetap baik.

"Insya-Allah sahabat-sahabat dari PAS, saya cukup yakin mereka akan menyokong parti komponennya iaitu Bersatu.

"Jadi kami di Johor ini, terutamanya di Bukit Kepong dan DUN Bukit Pasir, tidak ada masalah dengan PAS," katanya ketika ditemui media selepas bertemu dengan orang ramai di Kampung Parit Sempang baru-baru ini.

PAS sudah mengarahkan semua jentera mereka untuk bersama-sama menggerakkan kempen di kawasan yang ditandingi oleh parti itu saja, sekali gus meninggalkan kawasan yang ditandingi Bersatu.

Tidak bercakap bagi pihak PAS

Arahan dari peringkat pusat itu dibuat ketika hubungan Bersatu dan PAS kekal tegang di sebalik kedudukan mereka sebagai parti komponen PN.

Untuk rekod dalam PRN kali ini PAS hanya bertanding di 11 daripada 56 kerusi DUN, manakala Bersatu pula di 16 kerusi.

PAS turut mengarahkan agar penyokong parti itu memberikan undi kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi mereka. Ia secara tidak langsung menghantar isyarat bahawa parti itu tidak akan memberikan undi kepada Bersatu.

DUN Bukit Kepong menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Bersatu (PN), BN, dan PH.

Sahruddin merupakan penyandang kerusi Bukit Kepong. BN menampilkan muka baru, Ahmad Syar'e Yusof, sebagai pertaruhan mereka, manakala PH menampilkan C Subramani.

Mahfodz Mohamed

Ditanya sejauh mana pengundi tegar PAS akan memberikan sokongan kepada Bersatu, Sahruddin memilih untuk berhati-hati.

Katanya, dia tidak boleh bercakap bagi pihak ahli PAS.

“Tetapi kalau dilihat sokongan sekarang ini, insya-Allah, pihak PAS akan membantu kami,” katanya.

Sahruddin berpendapat ada banyak sebab mengapa pengundi – termasuk penyokong PAS – akan memberikan undi kepada Bersatu di setiap kerusi yang ditandingi.

Selain Bukit Kepong, Pengerusi Bersatu Johor itu juga yakin mereka mampu memenangi kerusi lain seperti Bukit Pasir yang kedua-duanya berada dalam kawasan parlimen Pagoh.

Analisis data menunjukkan corak demografi pemilih di kawasan berkenaan dinamik, dengan kumpulan usia pertengahan dan belia muncul sebagai kelompok dominan yang bakal menentukan keputusan di kawasan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS