Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konflik di Hormuz: AS, Iran setuju henti perang, bersemuka di Qatar esok
Diterbitkan:  Jun 29, 2026 12:46 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju menghentikan permusuhan serta mengadakan pertemuan di Qatar pada Selasa bagi membincangkan pertikaian berhubung Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi yang memetik portal berita Axios.

Menurut portal itu, pertempuran yang tercetus semula berpunca daripada perbezaan tafsiran terhadap memorandum persefahaman (MoU) yang menamatkan perang, khususnya berkaitan peruntukan mengenai Selat Hormuz.

"Kami memutuskan untuk menghentikan semua aktiviti ketenteraan," kata seorang pegawai kanan AS kepada Axios, menggunakan istilah ketenteraan yang merujuk kepada serangan dan tindakan ketenteraan lain.

Di bawah memorandum itu, Iran berikrar untuk sedaya upaya memastikan laluan selamat bagi kapal-kapal dagang melalui Selat Hormuz, manakala AS bersetuju menarik balik sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.

Semasa rundingan di Switzerland minggu lepas, Naib Presiden AS JD Vance dan delegasi Iran bersetuju mewujudkan talian komunikasi terus antara tentera AS dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) bagi menyelaras pergerakan trafik maritim di laluan perairan itu.

Bagaimanapun, menurut laporan berkenaan, sehingga Sabtu talian komunikasi itu masih belum beroperasi, walaupun Iran kembali menegaskan bahawa kapal-kapal perlu menyelaraskan pelayaran mereka sebelum melalui selat berkenaan.

Axios melaporkan pertemuan pada Selasa itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Switzerland bagi membincangkan program nuklear Iran.

Namun, ketegangan terbaharu menyebabkan lokasi pertemuan dipindahkan ke Doha dengan fokus perbincangan beralih kepada Selat Hormuz.

Terdahulu pada Ahad, The Wall Street Journal melaporkan rundingan antara AS dan Iran menemui jalan buntu susulan tercetus semula permusuhan antara kedua-dua negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS