Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Apabila padang hijau jadi mainan geopolitik

ULASAN | Apabila kapten pasukan Iran, Mehdi Taremi, mengkritik Fifa berhubung isu logistik, perjalanan rentas sempadan dan kesukaran visa sepanjang Piala Dunia 2026, mungkin ramai yang melihatnya sebagai rungutan biasa sebuah pasukan yang berdepan cabaran sepanjang kejohanan.

Namun jika kontroversi ini dibaca dalam konteks hubungan Iran-AS yang kembali menunjukkan keretakan selepas usaha perdamaian yang rapuh, persoalannya menjadi jauh lebih besar daripada sekadar bola sepak.

Ia memperlihatkan bagaimana geopolitik tidak pernah benar-benar berhenti di sempadan negara. Sebaliknya, ia mampu meresap ke ruang yang selama ini dianggap neutral, termasuk padang bola sepak.

Piala Dunia sentiasa dipromosikan sebagai lambang perpaduan sejagat. Selama beberapa dekad, bola sepak diraikan sebagai bahasa universal yang merentasi sempadan politik, ideologi, agama dan budaya. Di atas padang, semua pasukan sepatutnya bermula dari garisan yang sama, tertakluk kepada peraturan yang sama dan dilayan secara saksama.

Namun idealisme tersebut sering diuji apabila kejohanan global berlangsung dalam dunia yang masih dibayangi persaingan kuasa besar, sekatan ekonomi, konflik bersenjata dan hubungan diplomatik yang rapuh.

Dalam kes Iran, isu yang dibangkitkan bukan sekadar mengenai perjalanan yang memenatkan antara Mexico dan AS atau kelewatan dalam urusan visa. Apa yang lebih penting ialah persepsi bahawa faktor-faktor di luar padang mempengaruhi persediaan dan pengalaman yang dialami pasukan Melli ini di sepanjang kejohanan Piala Dunia 2026.

Sama ada persepsi itu diterima sepenuhnya atau dipertikaikan, ia tetap membuka satu persoalan asas: sejauh manakah institusi antarabangsa mampu mengekalkan prinsip kesaksamaan apabila berhadapan dengan realiti geopolitik yang semakin kompleks?

Sempadan yang kian kabur

Persoalan ini menjadi lebih signifikan apabila dilihat dalam konteks hubungan Iran dan Amerika Syarikat. Walaupun kedua-dua negara pernah mengumumkan usaha mengurangkan ketegangan melalui saluran diplomatik, perkembangan mutakhir menunjukkan bahawa rasa saling percaya masih jauh daripada terbina.

Gencatan senjata dan persefahaman politik mungkin mampu menghentikan konfrontasi secara sementara, sebaliknya ia tidak serta-merta menghapuskan budaya curiga yang telah berakar selama puluhan tahun.

Di sinilah letaknya perbezaan antara menamatkan peperangan dengan membina keamanan. Menandatangani perjanjian damai adalah satu pencapaian diplomatik, namun membina keyakinan antara negara memerlukan masa yang jauh lebih panjang. Selagi persepsi ancaman masih mendominasi dasar keselamatan dan imigresen, kesannya akan terus dirasai oleh individu biasa—termasuk atlet yang datang bukan sebagai diplomat atau anggota tentera, tetapi sebagai peserta sebuah kejohanan sukan.

Hakikatnya dunia hari ini menyaksikan sempadan antara geopolitik dan bidang-bidang lain semakin kabur. Teknologi, perdagangan, pendidikan, kebudayaan dan sukan tidak lagi berdiri dalam ruang yang terpisah daripada hubungan antarabangsa.

Apa yang berlaku di meja rundingan diplomatik boleh memberi kesan kepada pergerakan manusia, pertukaran ilmu, rantaian bekalan, malah kepada perjalanan sesebuah pasukan bola sepak.

Mehdi Taremi (kanan)

Piala Dunia 2026 menjadi contoh yang menarik kerana ia dianjurkan merentasi tiga negara, sekali gus menjadikan aspek imigresen, kawalan sempadan dan koordinasi keselamatan lebih rumit berbanding kejohanan terdahulu.

Bagi kebanyakan pasukan, cabaran ini mungkin sekadar urusan pentadbiran. Namun, bagi negara yang masih berdepan ketegangan politik dengan salah sebuah negara tuan rumah, cabaran tersebut membawa dimensi yang jauh lebih sensitif.

Dalam hubungan antarabangsa, persepsi sering kali sama penting dengan realiti. Walaupun sesuatu prosedur dilaksanakan atas alasan keselamatan, ia boleh ditafsirkan sebagai layanan yang tidak seimbang jika hanya menjejaskan pihak tertentu. Di sinilah naratif mula terbentuk.

Bagi Iran, isu visa dan logistik mungkin dilihat sebagai manifestasi kepada hubungan politik yang belum pulih. Bagi pihak lain pula, ia mungkin dianggap sebagai pelaksanaan prosedur keselamatan yang biasa. Perbezaan tafsiran inilah yang akhirnya membentuk persepsi global.

Keadaan ini mengingatkan kita bahawa keamanan bukan sekadar ketiadaan peperangan. Ahli kajian keamanan, Johan Galtung, membezakan antara negative peace dan positive peace.

Negative peace merujuk kepada keadaan apabila peperangan telah berhenti.

Sebaliknya, positive peace menuntut kewujudan keadilan, kepercayaan, kerjasama institusi dan layanan yang saksama kepada semua pihak.

Ruang melihat kesan konflik

Tanpa elemen-elemen tersebut, keamanan kekal rapuh dan mudah diganggu oleh krisis baharu.

Jika kerangka ini digunakan untuk membaca kontroversi yang melibatkan Iran, isu sebenar bukanlah semata-mata sama ada Fifa gagal atau berjaya mengurus kejohanan. Persoalan yang lebih mendasar ialah sama ada sistem antarabangsa hari ini benar-benar mampu memisahkan institusi global daripada beban konflik geopolitik yang masih berlarutan.

Inilah cabaran terbesar abad ke-21. Dunia semakin bergantung kepada institusi antarabangsa untuk mengurus perdagangan, kesihatan, teknologi, alam sekitar dan sukan. Namun institusi-institusi tersebut beroperasi dalam persekitaran politik yang semakin berpecah, dipenuhi persaingan kuasa besar dan krisis kepercayaan. Oleh itu, setiap kontroversi kecil mudah menjadi simbol kepada masalah yang lebih besar.

Barangkali itulah sebabnya isu yang dibangkitkan oleh Mehdi mendapat perhatian meluas. Ia bukan sekadar mengenai jadual perjalanan atau urusan visa. Ia menjadi cerminan kepada persoalan yang sedang menghantui sistem antarabangsa: adakah dunia benar-benar sedang bergerak ke arah keamanan, atau sekadar berjaya menghentikan peperangan tanpa menyembuhkan luka yang ditinggalkannya?

Jika jawapannya ialah yang kedua, maka padang bola sepak hanyalah salah satu ruang di mana kesan konflik itu dapat dilihat. Hari ini, ia muncul dalam bentuk perjalanan yang rumit dan birokrasi sempadan. Esok, ia mungkin muncul dalam bidang lain. Peperangan moden tidak semestinya terus hidup melalui bunyi letupan senjata. Kadangkala ia meneruskan kehidupannya melalui rasa curiga, sekatan, prosedur dan persepsi yang diwarisi daripada konflik yang belum benar-benar selesai.

Piala Dunia sepatutnya menjadi perayaan kemanusiaan sejagat. Namun episod yang melibatkan Iran mengingatkan kita bahawa keamanan bukan sekadar ditentukan oleh ketiadaan peperangan di medan tempur. Keamanan hanya benar-benar bermakna apabila ia melahirkan kepercayaan, keadilan dan layanan yang saksama. Selagi perjanjian damai masih rapuh dan hubungan antara negara terus dibayangi syak wasangka, geopolitik akan terus mencari jalan untuk memasuki ruang yang paling tidak disangka — termasuk padang bola.


ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa, serta sering mengulas isu semasa dari perspektif semiotik dan naratif.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS