Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak atas kejayaan projek Laluan LRT3 Shah Alam.
Baginda memberi penghargaan kepada Najib kerana mendengar titahnya agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Anwar pula, titah baginda, mengembalikan semula lima buah stesen yang dibatalkan dan akan membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat.
“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini.
“Terima kasih dan syabas beta ucapkan kepada YAB Anwar Ibrahim,” titah baginda.
‘Lim dan Pua tak faham’
Bagaimanapun, dua pemimpin DAP mendapat teguran baginda iaitu, menteri kewangan sebelum ini Lim Guan Eng dan penasihatnya Tony Pua.
Baginda bertitah, apabila berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2018, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan, dengan tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehinggalah tahun 2021.
Ketika itu, titah baginda, Lim mengecilkan kos pelaburan projek atas alasan ia projek “mega”.
Baginda juga bertitah mereka mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
“Ketika Kementerian Kewangan (MOF) di bawah pentadbiran Guan Eng (DAP) dan Tony Pua (DAP) juga, saiz setiap stesen telah dikecilkan dan jumlah gerabak kereta api dikurangkan.
“Lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga telah dibatalkan,” titah baginda.
Dalam kenyataan hari ini, Sultan Sharafuddin juga tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata.
Hakikatnya, titah baginda, ia merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya.
