Rayuan Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah melibatkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak, yang dijadualkan didengar hari ini di Mahkamah Rayuan, ditangguhkan ke 1 Sept.
Panel tiga hakim diketuai Azhahari Kamal Ramli menetapkan 16 hari pada September untuk mendengar rayuan berkenaan.
Terdahulu, panel itu membenarkan pelupusan permohonan peguam Rosmah, Jagjit Singh untuk menangguhkan prosiding hari ini, sementara menunggu permohonan semakan yang difailkan Rosmah pada 29 Julai berhubung permintaan supaya hakim menarik diri daripada mendengar kes solar berkenaan.
Menyifatkan kes itu sebagai kes lama yang bermula sejak 2022, Hakim Azhahari yang bersidang bersama Choo Kah Sing dan K Muniandy berkata mahkamah tidak akan berkompromi dengan tarikh pendengaran baharu yang ditetapkan itu.
“Kami tidak akan berkompromi dengan tarikh-tarikh ini. Pendengaran ditetapkan pada 1 hingga 4 Sept, 8 hingga 11 Sept serta 21 hingga 30 Sept 2026. Rayuan mesti bermula pada 1 Sept dan kami tidak akan membenarkan sebarang penangguhan sepanjang tempoh pendengaran yang dijadualkan,” katanya.
“Dengan mengambil kira peguam bersama Akberdin Abdul Kader, kini sedang berdepan saat-saat sukar dalam kehidupannya, kami membenarkan permohonan penangguhan ini,” katanya.
Mahkamah turut memaklumkan bahawa Presiden Mahkamah Rayuan menerusi surat bertarikh 10 Okt 2024, membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama.
“Kami berpendapat bahawa surat itu perlu ditafsirkan sebagai turut membenarkan rayuan utama ditangguhkan, sehingga pemohon menggunakan sepenuhnya semua saluran undang-undang yang tersedia, termasuk permohonan semakan, sementara menunggu pendengaran dan pelupusan permohonan semakan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Jagjit memohon penangguhan atas alasan pihak pembelaan memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan, yang menolak rayuan Rosmah untuk membatalkan pelantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan), yang mengendalikan perbicaraan serta mensabitkan dia dalam kes rasuah projek hibrid solar itu.
Beliau berkata pada 9 Okt 2024, pihak pembelaan mengemukakan surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan, bagi memohon supaya pendengaran rayuan kes rasuah itu ditangguhkan sehingga rayuan berkaitan permohonan agar hakim berkenaan menarik diri, diputuskan sepenuhnya.
“On 10 Okt 2024, Presiden Mahkamah Rayuan membalas surat kami dan membenarkan rayuan kes rasuah itu ditangguhkan, sehingga rayuan berkaitan permohonan penarikan diri hakim selesai diputuskan sepenuhnya. Ketika ini, permohonan semakan berhubung penarikan diri hakim itu dijadualkan didengar pada 29 Julai,” katanya.
Peguam itu turut memaklumkan kepada panel bahawa anak lelaki Akberdin iaitu Adli Hakim, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kira-kira dua bulan lepas.
“Akberdin seperti adik saya sendiri. Dia masih bersedih dan berkabung atas kehilangan anaknya. Dialah yang menyediakan semua dokumen bagi rayuan ini, namun tidak dapat hadir kerana tragedi itu. Saya memerlukan dia (Akberdin). Kami berharap pihak pendakwaan dapat memahami keadaan ini,” katanya sambil menahan sebak.
Timbalan Pendakwa Raya K Mangai berkata pihak pendakwaan diarahkan untuk membantah permohonan penangguhan itu, dengan alasan rayuan berkenaan tertangguh di Mahkamah Rayuan sejak 2023.
Bagaimanapun, dia berkata pihak pendakwaan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan keadaan peribadi Akberdin.
Pada 1 Sept 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah, selepas mendapati dia bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion itu.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak didakwa meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta, serta berdepan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu memperoleh projek hibrid solar berkenaan.
- Bernama
