mk-logo
Berita
Umno: Mengapa PH ‘tersentap, meroyan’ PAS sokong BN?
Diterbitkan:  Jul 1, 2026 6:35 PM
Dikemaskini: 10:48 AM
1

Umno dan BN menyambut baik keputusan kepimpinan PAS yang mengarahkan para penyokong mereka untuk memberikan undi kepada calon-calon gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor pada 11 Jukai ini.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sokongan terbuka itu dilihat sebagai langkah strategik dalam mengukuhkan kedudukan BN di Johor tetapi mempersoalkan reaksi pimpinan Pakatan Harapan (PH) - sekutu mereka di peringkat persekutuan berhubung pendirian itu.

Asyraf Wajdi Dusuki

“Umno-BN mengalu-alukan sokongan dan arahan kepimpinan PAS kepada penyokong mereka agar memberi undi kepada calon-calon BN di Johor.

“Cuma kenapa pula pimpinan parti-parti PH pula tersentap dan meroyan?” soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada 28 Jun lalu, PAS mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokongnya untuk mengundi calon Umno-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor ke-16.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, arahan tersebut bertujuan mengelakkan perpecahan undi serta mengukuhkan sokongan gabungan itu bagi menentang PH.

"PN tidak bertanding di semua kerusi DUN. Oleh itu, di kerusi yang PN tidak meletakkan calon, kita minta penyokong mengundi Umno," katanya.

Gesaan itu disambut oleh Pemuda PAS yang menegaskan bahawa fokus utama gabungan itu adalah untuk memperkukuhkan penguasaan politik Melayu-Islam di negeri tersebut.

Tikam belakang kawan

Semalam Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata tindakan PAS mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon Umno-BN itu, hanya memberi kelebihan kepada PH.

Fuziah Salleh

Menurutnya, tindakan itu hanya memperlihatkan perpecahan dalam PN, sekali gus menampakkan sifat 'tikam belakang kawan sendiri'.

"Saya lihat, perkara ini sebenarnya memberi kesan lebih kepada PN, sebab apa yang diumumkan oleh PAS itu adalah tikam belakang kepada kawan mereka sendiri.

"Ini semuanya memberi kelebihan kepada PH, sebabnya saya tengok PN, PAS dengan Bersatu ini berpecah secara dalaman walaupun mereka dalam satu gabungan.

"Saya tengok BN juga berhadapan perkara yang sama (pertelingkahan dalam gabungan)... jadi, semuanya memberi kelebihan kepada PH sebenarnya," katanya kepada media.

Pada PRN Johor kali ini, PAS bertanding di 11 DUN berbanding 15 sebelumnya. Komponen PN yang lain iaitu Bersatu bertanding di 16 kerusi, MIPP (5) dan Pejuang (1).

BN pula bergerak solo dan bertanding di semua 56 DUN manakala PH rakan sekutu BN dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan pula meletakkan calon di 56 kerusi.

Untuk mencapai majoriti mudah dan membentuk kerajaan dalam DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, sesebuah parti atau gabungan perlu mendapatkan minimum 29 kerusi.

Sehingga kini, perkembangan itu terus menjadi perhatian dalam landskap politik pasca-pilihan raya di Johor, memandangkan peralihan undi daripada penyokong PAS dijangka memberi impak kepada kedudukan kerusi-kerusi yang ditandingi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS