Buku Struggle Ya, Nak Jadi Wanita Syurga? menjadi perhatian selepas beberapa halaman kandungannya tular di media sosial, susulan dakwaan terdapat petikan ayat al-Quran dan hadis yang tidak sepadan dengan sumber asal.
Isu itu mula mencetuskan perdebatan apabila seorang pengguna Threads memuat naik gambar beberapa halaman buku berkenaan bersama semakan terhadap petikan al-Quran, terjemahan dan hadis yang digunakan.
Hantaran itu mendakwa terdapat beberapa petikan yang tidak tepat, tidak sepadan dengan rujukan surah dan nombor ayat, serta ada hadis yang dikaitkan dengan sumber tertentu tetapi didakwa tidak ditemui dalam naskhah asal.
Susulan kontroversi itu, penulis dan pempengaruh Aisyah Hijanah tampil memohon maaf secara terbuka, mengakui tanggungjawab sebagai penulis dan penerbit, serta memaklumkan buku berkenaan ditarik balik daripada jualan bagi membolehkan semakan semula dibuat.
Panduankini menelaah latar belakang isu tersebut, dakwaan ketidaktepatan yang dibangkitkan, reaksi pihak berkuasa dan akta yang berkaitan.
Kontroversi bermula di media sosial
Kontroversi tercetus pada 25 Jun lalu apabila seorang pembaca membedah kandungan buku Struggle Ya, Nak Jadi Wanita Syurga? menerusi satu hantaran di Threads.
Menurut semakan yang dikongsikan pengguna itu, beberapa petikan ayat al-Quran, terjemahan dan hadis dalam buku berkenaan didakwa tidak sepadan dengan sumber asal.
Hantaran itu turut mendakwa terdapat petikan tulisan Arab yang tidak sepadan dengan rujukan surah dan nombor ayat yang dinyatakan dalam buku.
Selain itu, beberapa petikan lain yang dikatakan diambil daripada al-Quran dan hadis juga didakwa tidak ditemui dalam sumber asal.
Menurut hantaran sama, kandungan buku itu didakwa tidak disemak oleh editor luar atau pakar dalam bidang pengajian Islam sebelum diterbitkan.
Bahagian penyuntingan pula dikatakan hanya disenaraikan atas nama penulis bersama suaminya yang menggunakan nama pena Hijanah Hazalif.

Antara dakwaan ketidaktepatan yang dibangkitkan:
Pakaian dan perhiasan yang menyiksa
Di bawah tajuk bahagian Pakaian dan perhiasan yang menyiksa, buku itu merujuk kepada Surah Al-Hajj ayat 19–20.
Namun, teks Arab yang dipaparkan didakwa bukan daripada surah berkenaan.
Surah Al-Hajj ayat 19–20 menerangkan keadaan orang kafir yang diazab di neraka dengan pakaian daripada api manakala air yang menggelegak dicurahkan ke atas kepala mereka sehingga menghancurkan isi perut dan kulit.

Rantai dan belenggu
Di bawah tajuk bahagian Rantai dan belenggu, petikan mengenai pohon Zaqqum dirujuk kepada Surah Al-Muddaththir ayat 4–6.
Bagaimanapun, semakan terhadap kandungan ayat mendapati petikan asal mengenai pohon Zaqqum lebih sepadan dengan Surah Al-Waqi’ah ayat 52.

Malaikat Penerbit Azab
Bahagian Malaikat Penerbit Azab turut didakwa mengandungi ketidaktepatan apabila potongan tulisan Arab yang dipetik dikatakan tidak sepadan dengan nombor ayat al-Quran yang dinyatakan.
Surah Al-Muddaththir ayat 31 menerangkan bahawa Allah SWT menjadikan malaikat sebagai pengawal neraka dan bilangan mereka sebagai ujian kepada manusia.
Namun, maksud yang dipaparkan dalam buku itu menyatakan ayat berkenaan bertanyakan “apa itu Jahanam”, sedangkan kandungan sebenar ayat tidak membawa maksud sedemikian.

Hadis wanita solehah
Buku itu turut memetik hadis yang menyatakan wanita solehah “lebih baik daripada seribu lelaki yang tidak beriman” dan mengaitkannya dengan riwayat At-Tirmidzi.
Bagaimanapun, setakat semakan awal, hadis berkenaan belum dapat disahkan dalam koleksi hadis riwayat At-Tirmidzi.

Api yang sangat panas
Di bawah tajuk bahagian Api yang sangat panas, buku itu memetik Surah Al-Mulk ayat 6 bersama maksud yang didakwa berbunyi:
“Dan sesungguhnya neraka itu benar-benar Jahannam.”
Semakan terhadap Surah Al-Mulk ayat 6 mendapati ayat berkenaan menerangkan bahawa orang yang kufur kepada Allah akan menerima azab neraka Jahanam, iaitu seburuk-buruk tempat kembali.

Makanan dan minuman yang menyakitkan
Dakwaan ketidaktepatan turut dibangkitkan pada bahagian Makanan dan minuman yang menyakitkan.
Dalam bahagian itu, petikan Arab yang bermaksud: “Bagi mereka minum dari air yang mendidih dan azab yang pedih” dirujuk kepada Surah Al-Ghashiyah ayat 6–7.
Semakan terhadap ayat 6–7 Surah Al-Ghashiyah mendapati ayat berkenaan menceritakan makanan daripada pokok berduri yang tidak mengenyangkan dan tidak menghilangkan lapar, bukannya mengenai minuman daripada air mendidih.

Petikan Surah Az-Zumar
Buku itu turut memetik frasa; “Mereka makan dan minum, tetapi mereka tidak mendapat keselamatan” dan merujuknya kepada Surah Az-Zumar ayat 56.
Bagaimanapun, semakan awal mendapati ayat berkenaan tidak sepadan dengan kandungan sebenar Surah Az-Zumar ayat 56 yang menceritakan penyesalan manusia pada Hari Kiamat kerana mengabaikan kewajipan terhadap Allah.
Selain itu, teks Arab yang dipaparkan juga didakwa tidak sepadan dengan terjemahan yang diberikan.

Siapa Aisyah Hijanah?
Aisyah Hijanah atau nama penuhnya Aisyah Hijanah Azhari merupakan pempengaruh media sosial yang aktif menghasilkan kandungan berunsurkan dakwah dan kerohanian di TikTok serta Instagram.
Aisyah berkahwin dengan Mohd Hazalif Mohd Hazani atau lebih dikenali sebagai Alif Teega pada 2017.
Selain menghasilkan kandungan digital, Aisyah mengusahakan perniagaan menerusi Hijanah Haul Holdings Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan pada Disember 2019 dan menjalankan penerbitan buku, penjualan kosmetik, pakaian serta tudung.

Sebelum ini, Aisyah dan Alif Teega menerbitkan buku Biarku Lindung Mendungmu pada 2018 yang mengisahkan perjalanan percintaan mereka sebelum berkahwin.
Buku itu dilaporkan terjual lebih 5,000 naskhah dalam tempoh sebulan.
Antara karya lain yang dihasilkan ialah Letters from My Heart Vol I, II dan III serta Sedalam Itu Tuhan Mencintaimu.
Aisyah merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Reaksi orang ramai dan pihak berkuasa
Kontroversi itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Ramai mempersoalkan bagaimana buku yang mengandungi petikan al-Quran dan hadis boleh diterbitkan tanpa semakan yang mencukupi.
Ada yang menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghentikan pengedaran buku itu manakala sebahagian lagi meminta naskhah berkenaan diharamkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan dipetik BH Online memaklumkan kerajaan memandang serius dakwaan itu dan akan meneliti perkara berkenaan.

Usaha menubuhkan Majlis Penerbitan Buku-Buku Agama Malaysia dijangka dapat membantu mengelakkan kesilapan seumpama itu daripada berulang pada masa depan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sirajuddin Suhaimee pada kenyataan berasingan mengingatkan penulis dan penerbit supaya bertanggungjawab terhadap kandungan buku agama.
Jakim mengesyorkan setiap penerbit melantik pakar atau individu berkelulusan dalam bidang pengajian Islam untuk menyemak kandungan yang mengandungi petikan al-Quran dan hadis sebelum diterbitkan.
Jakim turut mencadangkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia mengingatkan semua penerbit supaya lebih teliti dalam menerbitkan bahan bacaan yang memetik nas al-Quran dan hadis.

Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan pihaknya memandang serius sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu serta keharmonian dalam komuniti sastera tanah air.
DBP turut menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang.
Prosedur penerbitan buku berunsurkan agama
Secara umum, buku boleh diterbitkan sama ada melalui syarikat penerbitan atau secara swaterbit.
Bagi manuskrip yang dihantar kepada syarikat penerbitan, penulis perlu memenuhi beberapa syarat termasuk format manuskrip, jumlah perkataan dan pengesahan bahawa karya itu adalah hasil penulisan sendiri.
Untuk buku berunsurkan agama, penerbit lazimnya memerlukan maklumat lengkap bagi setiap petikan al-Quran dan hadis.

Bagi ayat al-Quran, maklumat yang diperlukan termasuk teks Arab, terjemahan, nama surah dan nombor ayat.
Bagi hadis pula, maklumat yang diperlukan ialah matan hadis, nama perawi, sumber riwayat serta terjemahan.
Sementara itu, bagi penerbitan secara swaterbit, penulis mempunyai kebebasan menguruskan proses penulisan, penyuntingan dan percetakan tanpa melalui tapisan penerbit lain.
Buku Struggle Ya, Nak Jadi Wanita Syurga? diterbitkan di bawah syarikat milik Aisyah sendiri manakala bahagian penyuntingan dilakukan oleh Aisyah bersama suaminya.
Dalam kenyataan berhubung isu itu, Aisyah memaklumkan buku berkenaan turut ditulis bersama seorang penulis lain atau ghostwriter namun hanya satu nama diletakkan pada kulit buku sebagai penulis.
Akta berkaitan
Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326) merupakan undang-undang utama yang mengawal selia pencetakan, penerbitan, pengimportan, penjualan dan pengedaran teks al-Quran di Malaysia.
Akta itu bertujuan memelihara kesucian ayat-ayat al-Quran daripada kesilapan teks, reka bentuk atau tafsiran yang boleh mengelirukan.
Di bawah akta itu, KDN menubuhkan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) bagi menyemak, meluluskan serta mengeluarkan lesen percetakan al-Quran.

Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 menetapkan bahawa tiada pihak dibenarkan mencetak atau menerbitkan bahan yang mengandungi kesilapan pada ayat al-Quran.
Akta Pencetakan Teks Al-Qur'an 1986 telah dipinda pada 2023 dan mula berkuatkuasa pada September 2024 meningkatkan jumlah penalti maksimum daripada RM10,000 kepada RM50,000 manakala hukuman maksimum penjara pula daripada tiga tahun kepada lima tahun bagi kesalahan bagi kesalahan mencetak atau menerbitkan teks al-Quran yang tidak diperakui LPPPQ.
Pindaan itu juga menaikkan penalti untuk kesalahan mencetak atau menerbitkan sesuatu teks al-Quran yang berbeza daripada ayat al-Quran yang diperakui betul oleh LPPPQ, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 berbanding RM20,000 sebelum ini.
Pada 2024, dua pengarah syarikat dijatuhi hukuman denda RM8,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan percetakan teks al-Quran.
Muhammad Hatim Ab Wahab, pengarah syarikat Tihani Cetak Sdn Bhd, didapati gagal mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan LPPPQ di bawah KDN.
Dia didapati membenarkan 3,800 naskhah al-Quran dijilid oleh syarikat milik orang bukan Islam, iaitu Hua Mei Industry Sdn Bhd.
Sum Yew Hom, pengarah Hua Mei Industry pula didenda kerana membantu menjilid teks al-Quran tersebut tanpa mempunyai lesen yang sah daripada LPPPQ.
Kes mahkamah berasingan
Sebelum ini, Aisyah Hijanah dan Alif Teega mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang derma berjumlah lebih RM1.52 juta.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa menyalahgunakan wang infak yang dikutip bagi pelbagai tujuan termasuk infak kurma, infak al-Quran, bantuan banjir, pek makanan untuk fakir miskin di Mekah dan Madinah serta pakaian raya untuk anak yatim.
Kes itu merupakan prosiding mahkamah berasingan dan belum diputuskan.

Respons Aisyah Hijanah
Susulan kontroversi itu, Aisyah tampil memohon maaf secara terbuka kepada pembaca, asatizah dan masyarakat atas kesilapan yang berlaku.
Aisyah mengakui kesilapan itu merupakan tanggungjawabnya sebagai penerbit dan penulis walaupun buku berkenaan dihasilkan bersama seorang ghostwriter.
Aisyah turut mengakui setiap kandungan, khususnya petikan al-Quran, sepatutnya disemak dengan lebih teliti sebelum diterbitkan.
Menurut Aisyah, sebagai individu yang sering berkongsi kandungan berkaitan agama, setiap maklumat yang disampaikan perlu melalui semakan lebih rapi.
Aisyah berkata dia menerima segala teguran dan mengakui niat yang baik tidak boleh dijadikan alasan terhadap kecuaian yang berlaku.
Sebagai langkah pembetulan, penjualan semua buku di bawah penerbitannya dihentikan sementara, manakala buku Struggle Ya, Nak Jadi Wanita Syurga? ditarik balik daripada semua kedai buku serta platform jualan dalam talian dan fizikal.
Semakan semula terhadap kandungan buku itu katanya, turut dijalankan secara menyeluruh dan versi digital yang telah diperbetulkan disediakan kepada pembaca yang ingin mendapatkan naskhah yang dikemas kini.
Aisyah turut berjanji memperketatkan proses semakan bagi semua penerbitan pada masa akan datang bagi mengelakkan kesilapan yang sama berulang.
