mk-logo
Berita
Hamzah soal alasan lantik Azam penasihat pusat cegah jenayah kewangan

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin mempersoalkan justifikasi kerajaan melantik bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki sebagai penasihat kepada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Hamzah yang juga ahli parlimen Larut mendakwa pelantikan itu menimbulkan persoalan memandangkan Azam sendiri pernah dikaitkan dengan beberapa isu yang kini sedang disiasat.

"Bagi pihak media, saya bertanyakan kepada kerajaan apa justifikasi Tan Sri Azam Baki dilantik sebagai penasihat NFCC sedangkan dia sendiri mempunyai masalah yang disiasat tentang beberapa isu," katanya dalam nada sindiran pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah berkata demikian ketika mengulas pelantikan Azam sebagai anggota Lembaga Penasihat NFCC, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pada sidang media sama, Hamzah turut merujuk kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menurutnya mempersoalkan pihak yang diwakilinya ketika membangkitkan isu sambutan Hari Peneroka Felda di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

"Ini soalan daripada media, yang amat berhormat Perdana Menteri.

“Seperti yang Yang Amat Berhormat tanya pada saya, bagi pihak siapa? Bagi pihak media," katanya.

Persoalan mengenai kedudukan Azam Baki dalam Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) timbul baru-baru ini selepas dia dilihat dalam gambar yang dimuat naik di laman Facebook Jabatan Peguam Negara.

Gambar itu memaparkan mesyuarat lembaga penasihat NFCC yang berlangsung pada 30 Jun lalu.

Semakan Malaysiakini turut mendapati satu hantaran bertarikh 15 Okt 2025 di laman web rasmi Jabatan Perdana Menteri menyenaraikan Azam sebagai ahli lembaga penasihat.

Laman web NFCC juga memaparkan nama Azam sebagai anggota lembaga penasihat atas kapasitinya sebagai bekas ketua pesuruhjaya SPRM.

Sejak gambar mesyuarat itu tular, beberapa pihak termasuk bekas exco Selangor Ronnie Liu dan timbalan ketua Pemuda MCA Mike Chong mempersoalkan kehadiran Azam pada mesyuarat berkenaan.

Semalam, lima ahli parlimen PKR menggesa kerajaan mendedahkan semua dapatan siasatan berhubung pegangan saham Azam.

Gesaan itu dibuat selepas sekumpulan aktivis belia berarak ke parlimen untuk menyerahkan memorandum menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan "mafia korporat" membabitkan SPRM.

Dakwaan itu berpunca daripada laporan Bloomberg pada Februari lalu yang memetik sumber mendakwa wujud pakatan sulit antara sekumpulan ahli perniagaan dan pegawai kanan SPRM bagi mengatur pengambilalihan syarikat.

Susulan itu, Bloomberg dan Malaysiakini secara berasingan menerbitkan laporan yang mendedahkan Azam memiliki pegangan saham melebihi had dibenarkan ke atas penjawat awam.

Kerajaan kemudian menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat Azam, dengan dapatan jawatankuasa siasatan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac.

Pada April lalu, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata Putrajaya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang tindakan yang bakal diambil terhadap Azam.

Fahmi ketika itu turut enggan mendedahkan butiran dapatan jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, Hamzah pada sidang media hari ini turut meminta kerajaan bersikap lebih telus dalam menjelaskan mekanisme penetapan harga bahan api.

Dia juga mengingatkan kerajaan supaya tidak mempersoalkan niat pembangkang apabila membangkitkan isu yang menurutnya dibuat demi kepentingan rakyat.

Hamzah menegaskan pembangkang berperanan memastikan setiap dasar dan undang-undang yang dibawa kerajaan memenuhi kehendak rakyat serta selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

"Kami bangkitkan sesuatu bukan semata-mata hendak membangkang, tetapi untuk memastikan segala polisi atau undang-undang baharu yang dibawa kerajaan menepati kehendak rakyat.

"Apabila bertukar kerajaan, dulu kita pernah jadi kerajaan, kemudian jadi pembangkang, kemudian jadi kerajaan semula. Sebab itu semak dan imbang perlu ada supaya sesiapa pun yang memerintah, undang-undang itu tetap memenuhi kehendak rakyat," katanya.

Menurut Hamzah, isu berkaitan Felda yang dibangkitkan pihaknya sebelum ini juga dibuat atas kepentingan peneroka dan generasi kedua, bukannya bagi mewakili mana-mana pihak tertentu.

"Saya memohon supaya perkara ini tidak dibangkitkan lagi oleh menteri atau mana-mana menteri yang menjawab soalan. Perdana Menteri juga menjawab bagi pihak seluruh rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah turut menggesa kerajaan memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung mekanisme subsidi petrol, termasuk jumlah sebenar kenderaan mengikut kategori yang layak menerima subsidi.

Hamzah berkata kerajaan sebelum ini mengumumkan kelayakan subsidi sehingga 300 liter sebulan sebelum ia dikurangkan kepada 200 liter.

Bagaimanapun, katanya alasan bahawa hanya sebahagian kecil pengguna menggunakan kuota penuh tidak memadai.

"Kita mahu kerajaan berterus terang. Beritahu jumlah kenderaan yang didaftarkan di JPJ - berapa motosikal, berapa kereta, berapa lori, supaya rakyat boleh faham peratusan sebenar.

"Kalau hanya sebut peratusan yang menggunakan subsidi, itu tidak memberi gambaran sebenar," katanya.

Dia turut mempersoalkan jika had 200 liter mencukupi bagi golongan yang menggunakan kenderaan untuk bekerja atau menjalankan perniagaan.

Selain itu, Hamzah meminta kerajaan mendedahkan formula penetapan harga pam, termasuk komponen seperti mekanisme penetapan harga automatik (APM) dan kos yang terlibat.

Menurutnya, penjelasan secara terbuka penting bagi mengatasi defisit kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.

"Saya minta kerajaan buktikan dan maklumkan kepada kita bahawa inilah harga yang benar-benar tepat supaya rakyat yakin mereka menerima subsidi yang sewajarnya.

"Akhirnya kita mahu wujud kepercayaan antara rakyat dengan kerajaan dan tidak saling tuduh-menuduh," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS