Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 esok, yang menawarkan pelan pembangunan komprehensif dan realistik berpaksikan kajian terhadap keperluan sebenar rakyat.
Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata manifesto itu memberi tumpuan khusus kepada usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah, meningkatkan taraf hidup rakyat serta menggariskan hala tuju yang jelas bagi mencapai matlamat peningkatan ekonomi rakyat di seluruh pelosok negeri.
“Insya-Allah kita (PH) punya tawaran (dalam manifesto) itu adalah tawaran-tawaran yang kita sudah selidik dan kita ada asas yang ini (tawaran) adalah keperluan rakyat,” kata Dr Zaliha dalam audio siar Secawan Teh Tarik yang dikongsi menerusi Facebook beliau.
Beliau berkata antara agenda utama manifesto berkenaan ialah mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan ekonomi yang sebelum ini terlalu bersifat "JB-centric" atau lebih tertumpu di wilayah selatan negeri.
Ahli Parlimen Sekijang itu berkata keadaan berkenaan menyebabkan beberapa daerah yang mempunyai potensi besar masih ketinggalan dari segi pembangunan dan kemudahan komersial.
Sebagai contoh, katanya daerah Segamat di utara Johor yang merangkumi Parlimen Labis, Sekijang dan Segamat serta berhampiran Parlimen Ledang mempunyai potensi ekonomi, namun masih kekurangan kemudahan infrastruktur komersial yang moden seperti pasar raya besar dan rangkaian hotel bertaraf tinggi bagi menyokong limpahan institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).
Menurut beliau isu ketidakseimbangan pembangunan itu bukan sahaja berlaku di Johor Utara, tetapi juga dirasai penduduk di kawasan timur dan tengah negeri seperti Tanjung Piai, Pontian, Simpang Renggam dan Mersing.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata rekod pentadbiran PH membuktikan manifesto yang dijanjikan sebelum ini bukan sekadar retorik malah sebahagian besar daripadanya berjaya dilaksanakan.
"Saya pernah berada dalam Kabinet dan kita pantau satu per satu manifesto yang dijanjikan oleh parti-parti komponen. Alhamdulillah, hasil pemantauan itu menunjukkan hampir semua janji dalam manifesto PH berjaya ditunaikan.
“Ini membuktikan dalam tempoh tiga tahun setengah, banyak perkara boleh direalisasikan dan tidak mustahil apa yang digariskan dalam PRN Johor kali ini juga boleh dilaksanakan,” katanya.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
- Bernama
