mk-logo
Berita
Sultan Pahang tekankan lagi keperluan atasi isu sungai cetek

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mengulangi kebimbangan baginda terhadap isu keperluan mendesak mendalamkan sungai-sungai yang cetek di Pahang.

Titah Sultan Pahang itu, pembinaan benteng penghalang banjir atau pelaksanaan projek tebatan banjir tidak akan berkesan sekiranya dasar sungai terus dibiarkan cetek akibat mendapan.

"Saya sentiasa menekankan bahawa mana-mana kampung atau bandar yang terletak di sepanjang sungai perlu dipastikan aliran sungainya didalamkan.

"Tak guna bina benteng setinggi mana sekalipun jika sungai sarat dengan keladak dan terus menjadi cetek.

"Sungai kita semakin cetek dan air akhirnya akan melimpah ke kawasan sekitar. Ini formula yang sangat mudah... bukannya rocket science (terlalu rumit untuk difahami)," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Lembing yang bernilai RM6 juta dan terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Kuantan hari ini.

Hadir sama di majlis itu adalah Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu.

Dalam perkembangan sama, baginda turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada atas peruntukan dana yang besar bagi projek infrastruktur di Pahang.

Antaranya termasuk projek tebatan banjir di Sungai Lembing yang bernilai RM100 juta dan mula dilaksanakan pada 2024.

Projek tebatan banjir itu dijadualkan siap sepenuhnya menjelang awal tahun depan.

"Projek-projek ini amat diperlukan kerana Sungai Lembing adalah antara kawasan yang dilanda banjir hampir setiap tahun.

"Jika mahu tahu sama ada Pahang akan banjir atau tidak, lihat Sungai Lembing.

“Jika Sungai Lembing banjir, kemungkinan besar Kuantan juga akan banjir... itu sudah lama menjadi penanda aras bagi kami di Pahang," titah baginda.

Awal tahun lalu, Al-Sultan Abdullah pernah menitahkan agar usaha mendalam dan melebarkan sungai di seluruh negeri dilaksanakan segera.

Baginda menegaskan, isu mendapan itu mengakibatkan banyak sungai di beberapa daerah di Pahang menjadi cetek, sekali gus mengakibatkan limpahan air dan kejadian banjir yang makin kerap berlaku.

Sementara itu, menyentuh mengenai Sungai Lembing, Al-Sultan Abdullah mengimbau sejarah pekan yang menjadi pusat utama aktiviti perlombongan bijih timah dengan mempunyai warisan kaya selain pernah didokumentasikan dalam pelbagai penulisan buku.

"Ia pernah menjadi sebuah bandar perlombongan yang pesat membangun semasa zaman penjajahan British.

"Bagaimanapun, aktiviti perlombongan akhirnya merosot disebabkan faktor ekonomi dan keadaan pasaran ketika itu," titah baginda.

Sungai Lembing pernah digelar El Dorado of the East adalah pusat perlombongan bijih timah utama negara bermula awal 1900-an sehinggalah operasi perlombongannya ditutup sepenuhnya pada 1986.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS