Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyerbu sebuah premis industri yang dijadikan sekolah untuk etnik Rohingya di kawasan Kompleks Perniagaan Shahab Perdana, dekat Alor Setar, semalam.
Datuk Bandar Alor Setar Abdul Gafar Yahya berkata serbuan itu dilakukan susulan isu yang tular di media sosial baru-baru ini, berhubung dakwaan kewujudan sebuah sekolah yang dikendalikan untuk etnik Rohingya.
“Serbuan dilaksanakan melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Jabatan Perancangan Pembangunan MBAS bagi mengesahkan maklumat serta menilai pematuhan premis terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Hasil siasatan mendapati premis berkenaan telah disewakan dan digunakan sebagai sebuah sekolah yang menempatkan seramai 26 kanak-kanak etnik Rohingya yang menetap di kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata siasatan turut mendapati yuran sebanyak RM100 sebulan dikenakan kepada setiap pelajar.
“Susulan penemuan itu, Bahagian Penguatkuasaan MBAS merekodkan butiran pemilik premis dan penyewa bagi tujuan siasatan lanjut, serta tindakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kes akan diambil tindakan atas kesalahan salah guna premis industri dan akan dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berhubung pengoperasian institusi pendidikan tanpa kebenaran, serta jabatan imigresen bagi penelitian terhadap status permit warga asing yang terlibat,” katanya.

Abdul Gafar berkata MBAS terus komited bagi memastikan setiap premis di dalam kawasan bandar raya itu mematuhi syarat penggunaan yang diluluskan serta segala peruntukan undang-undang demi menjaga ketenteraman awam dan kepentingan masyarakat.
- Bernama
